APG KL2017 platform perpaduan, bukan sekadar temasya sukan - Khairy

Harits Asyraf Hasnan
September 17, 2017 21:53 MYT
Khairy berucap pada Majlis Pembukaan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. --fotoBERNAMA
Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) yang dibuka secara rasmi hari ini bukan hanya sekadar medan temasya sukan, sebaliknya menjadi platform penyatupaduan negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Katanya, usaha, semangat dan kegigihan atlet para perlu menjadi teras kepada perpaduan, sama seperti Sukan SEA ke-29 yang berlangsung baru-baru ini.
"Bersatu dengan semangat juara, bertunjangkan inspirasi dari atlet luar biasa, dengan keyakinan yang tinggi, semangat yang padu dengan keazaman yang membawa kita menuju ke puncak kejayaan.
"Gemilang selama-lamanya," kata Khairy semasa pembukaan APG KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Majlis pembukaan tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambah Khairy, temasya kali ini bukan hanya untuk meraikan individu yang telah mencipta nama, sebaliknya membentuk atlet yang akan menjadi juara pada masa akan datang.
"Malam ini kita raikan mereka semua. Bukan hanya yang sudah mencipta nama, tetapi juga yang baru mengorak langkah untuk mengukir kejayaan. Mereka adalah wira dan wirawati kita.
"Di bahu mereka tergalas impian, terpancar sinar kekuatan serta cahaya kegembiraan untuk Negara yang dilanda kesedihan beberapa hari terakhir ini.
"Usaha atlet para mengatasi kekangan fizikal atau intelektual mengingatkan kita bahawa tiada apa yang boleh menghalang semangat nurani yang ingin menggapai cita-cita.
"Walaupun berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang tidak dapat kita bayangkan, mereka tidak pernah menyalahkan takdir, tidak pernah mengeluh di tepi gelanggang membiarkan kehidupan berlalu pergi.
"Namun mereka terus mara, terus berjuang – menjadi pedoman kepada kita semua untuk menjadi bangsa yang tidak pernah kenal erti kalah, tidak memberi seribu satu alasan dan terus berani mendahagakan cita-cita besar," ujarnya.
Pada majlis pembukaan itu, penyanyi tersohor Malaysia yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Yuna Zarai menggamatkan suasana dengan nyanyian 'Rescue'.
Hadir sama pada majlis pembukaan itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malaysia mensasarkan 103 pingat emas seperti dicanang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada APG KL2017 ini.
Tumpuan peminat sukan tanahair pastinya terarah kepada dua juara dunia iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik di Rio, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara olahraga di samping kemunculan atlet renang Singapura Yip Pin Xiu yang juga pemenang pingat emas temasya Sukan Paralimpik Rio.
Temasya seminggu ini disertai oleh 1,421 atlet dan 711 pegawai keseluruhan dari 11 negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.
Sejumlah 368 acara daripada 16 jenis sukan dipertandingkan dengan menawarkan 368 pingat emas.
Kontinjen negara, yang diketuai oleh Datuk R.Subramaniam, terdiri daripada 325 atlet dan 167 pegawai yang akan memulakan aksi memburu pingat dalam 16 acara iaitu acara memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, berbasikal, bola sepak lima sebelah, bola sepak CP, goalball, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda.
#APG #Khairy Jamaluddin #Najib Razak #perpaduan #platform penyatupaduan #sukan #Sukan Para ASEAN ke-9
;