APG KL2017 ditutup penuh bangga, meriah

Bernama
September 23, 2017 22:32 MYT
Persembahan bunga api pada upacara Perasmian Penutupan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. --fotoBERNAMA
Sukan Para ASEAN (APG) Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirainya dengan meriah dan bergaya apabila Malaysia menampilkan pencapaian terbaik sebagai naib juara pada acara sukan dwitahunan itu dalam masa lapan tahun dengan merangkul 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa.
Kuala Lumpur mengucapkan selamat tinggal kepada APG di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini malam ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penutupan secara rasmi temasya sukan yang disertai lebih 1,000 atlet dan pegawai daripada 11 negara dari Asia Tenggara.
Kontinjen Indonesia dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan meraih 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa.
Walaupun gagal mencapai sasaran 103 emas, atlet para Malaysia mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila berjuang bermati-matian untuk menyamai kecemerlangan negara sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lepas.
Thailand menduduki tangga ketiga dengan 68 emas, diikuti Vietnam dengan 40 emas, Filipina 20, Myanmar 11, Singapura 10 sementara Brunei dan Timor Leste, masing-masing dengan dua emas. Kemboja membawa pulang lima perak dan lima gangsa sementara Laos meraih empat perak dan empat gangsa.
Edisi ke-10 sukan itu akan dihoskan oleh Filipina pada 2019.
"Saya dengan ini mengisytiharkan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 ditutup,” kata Ahmad Zahid ketika merasmikan penutupan APG 2017 di sambut dengan tepukan dan sorakan daripada penopnton yang membanjiri stadium yang boleh memuatkan 100,000 orang pada 9.15 malam ini.
Majlis penutupan gilang-gemilang itu, yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, juga dihadiri oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeane Abdullah selaku penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mej. Jen. Osoth Bhavilai, dan Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Selama satu minggu, tumpuan Asia Tenggara menjurus ke Kuala Lumpur sebagai hos APG 2017 yang merupakan Sukan Para ASEAN yang ketiga dihoskan oleh Malaysia selepas menganjurkan acara sukan itu pada 2001 dan 2009.
Sumbangan ribuan sukarelawan APG 2017 yang lebih dikenali sebagai Faktor WAU juga ditampilkan pada upacara penutup.
Malaysia juga menyerahkan tugas penganjuran APG kepada Filipina dengan penyerahan bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) kepada Presiden Jawatankkuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo.
Suasana bertukar seketika apabila obor APG 2017 dipadamkan merupakan detik-detik yang memilukan bagi lebih 1,421 atlet dan pegawai yang terlibat dalam 368 acara meliputi 16 kategori sukan yang ditampilkan dalam APG 2017 yang bertemakan “Bangkit Bersama”.
Acara malam ini dimeriahkan dengan lagu-lagu, tarian persembahan kebudayaan dan penampilan khas penyanyi kelahiran Malaysia dan terkenal di persada antarabangsa, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna yang menambahkan lagi kemeriahan.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #APG #Filipina #Indonesia #KL2017 #Malaysia #penutupan #Sukan Para ASEAN
;