APG: Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kejayaan membanggakan kontinjen negara

Bernama
Jun 12, 2023 16:06 MYT
Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dengan pencapaian kontinjen negara yang berjaya membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa.- Foto/Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan membanggakan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja, baru-baru ini.
Turut menzahirkan ucapan tahniah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Istana Negara menerusi catatan di Facebook hari ini memaklumkan Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dengan pencapaian kontinjen negara yang berjaya membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa.
"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Majlis Paralimpik Malaysia, jurulatih dan individu di belakang tabir atas kejayaan yang membanggakan para pemimpin dan pelbagai lapisan rakyat.
"Ia telah membuktikan sekali lagi bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu bersaing dan berjaya melepasi sasaran kita," menurut catatan itu.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar prestasi hebat atlet para negara bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan di kejohanan akan datang.
Kontinjen para negara yang diwakili 144 atlet menamatkan cabaran kali ini dengan cemerlang apabila meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.
Sebelum ini, kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada APG 2023 di Phnom Penh.
-- BERNAMA
#Sukan Para ASEAN #Yang di-Pertuan Agong #APG 2023 #ucapan tahniah
;