APG 2023: Atlet renang, olahraga sumbang lapan emas
Bernama
Jun 4, 2023 06:30 MYT
Jun 4, 2023 06:30 MYT
PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) 2023 pada Ahad tidak mengecewakan apabila meraih lapan emas, enam perak dan tiga gangsa di bumi Kemboja.
Enam daripada lapan pingat emas itu diperoleh daripada aksi cemerlang kem renang para pada hari pertama pertandingan di Pusat Akuatik, Stadium Morodok Techo, yang menyaksikan tiga daripada mereka mencipta rekod baharu kejohanan.
Pingat emas itu disumbangkan Mohd Adib Iqbal Abdullah menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB14 (kecacatan intelektual), Carmen Lim (100m kuak dada wanita SB8 - kecacatan fizikal) dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan (50m kuak lentang S14 - kecacatan intelektual).
Mereka juga berjaya memecahkan rekod baharu pada edisi ke-12 ini.
Tiga lagi pingat emas diperoleh menerusi Abd Halim Mohammad yang menyandang gelaran juara bagi dua kategori iaitu 100m kuak dada SB8 (kecacatan fizikal) dan 100m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala Fraidden Dawan menerusi acara 400m gaya bebas S10 (kecacatan fizikal).
Selain itu, dua perak diperoleh daripada Duran Yaspi menerusi acara 50m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) dan Rusdianto Rusmadi pada acara 400m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala satu gangsa oleh Carmen Lim menerusi 100m gaya bebas wanita S7-8 (kecacatan fizikal).
Bagaimanapun situasi berbeza apabila skuad olahraga yang sinonim dengan acara 'lubuk emas' sekadar meraih dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Morodok Techo semalam.
Pingat emas itu menerusi Muhamad Ashraf Muhammad Haisham melalui acara 5,000 meter lelaki T46 (kecacatan fizikal) dan Nani Shahiera Zawawi pada acara lompat jauh wanita T20 - masalah pembelajaran.
Pada Sabtu, Malaysia memperoleh pingat perak menerusi acara badminton berpasukan lelaki dan satu pingat gangsa menerusi bola keranjang berkerusi roda menjadikan pingat Malaysia kepada lapan emas, tujuh perak dan empat gangsa sekali gus berada pada kedudukan keempat semalam.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada edisi Kemboja.
Hari ini, Malaysia akan meneruskan misi memburu emas pada temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA