APG 2023: Atlet para sedia jadi pengubat duka Malaysia di Kemboja
Bernama
Jun 2, 2023 08:58 MYT
Jun 2, 2023 08:58 MYT
PHNOM PENH: Kini tiba giliran atlet para negara untuk menyinar apabila temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 membuka tirainya di sini, esok.
Selepas pencapaian menyedihkan kontinjen negara pada Sukan SEA baru-baru ini, atlet para negara diharap dapat mengubati kekecewaan Malaysia pada temasya sukan bagi orang kurang upaya yang bakal berlangsung hingga 9 Jun ini.
Ketiadaan tiga jaguh negara, iaitu Datuk Mohd Latif Romly (lompat jauh T20), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan atlet badminton para Cheah Liek Hou dijangka tidak melunturkan semangat kontinjen negara yang hadir ke sini dengan sasaran 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga dilihat mengambil langkah selamat apabila menyasarkan pingat emas yang lebih rendah berbanding pencapaian di Solo, Indonesia tahun lepas, iaitu 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa dan menamatkan kempen di kedudukan keempat.
Pada edisi kali ini, Malaysia yang akan diwakili hampir 43 peratus atau 62 daripada 144 atlet yang akan beraksi buat pertama kali di pentas Asia Tenggara itu, pastinya akan membuatkan peminat sukan tanah air berfikir sejenak sekiranya sasaran itu mampu dicapai.
Lebih merunsingkan apabila tuan rumah di sini tidak menyenaraikan 10 acara daripada dua sukan iaitu memanah dan tenis berkerusi roda yang dilihat mampu menyumbang sekurang-kurangnya tiga emas kepada kontinjen negara jika ia dianjurkan.
Oleh itu, sukan yang sering menjadi lubuk emas negara seperti olahraga dan renang harus hadir dengan semangat juang yang tinggi bagi memastikan magis terlaksana di bumi Kemboja atau Malaysia sekali lagi berdukacita.
Di Phnom Penh, kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan yang dipertandingkan di Kemboja, yang menyaksikan Malaysia akan mengambil bahagian dalam 153 acara ataupun 35.66 peratus daripada 429 acara yang dipertandingkan.
Tiga belas sukan itu ialah olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak orang buta negara, bola sepak cerebral palsy, goalball, judo, powerlifting, renang, tenis berkerusi roda dan bola keranjang berkerusi roda, selain satu sukan demo iaitu e-sukan.
Malaysia buat julung kalinya pernah muncul juara keseluruhan APG iaitu ketika menjadi tuan rumah edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2001, yang menyaksikan kontinjen para negara unggul merangkul 143 pingat emas, 136 perak dan 92 gangsa.
Oleh yang demikian, kontinjen 'luar biasa' ini perlu bersedia untuk melaungkan amaran awal pada hari pertama temasya dwitahunan itu esok untuk dilihat sebagai pencabar utama yang sama-sama mampu menghadirkan pingat buat negara tercinta dan tidak boleh dipandang ringan oleh pesaing.
Malaysia tidak seharusnya melalui 'detik hitam' seperti gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang berakhir pada 17 Mei lepas.
Ketika itu, kontinjen negara terpaksa akur apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan, berbanding 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa yang disasarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kem paralimpik kebangsaan yang diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG Kemboja Noor Syahieda Mat Shah perlu sedar yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang, yang seharusnya kejayaan itu datangnya daripada kerja keras tanpa mengenal erti penat lelah.
-- BERNAMA