APG 2022: Sasaran 35 pingat semakin hampir

Bernama
Oktober 25, 2023 23:35 MYT
Pencapaian tersebut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada tujuh emas, 11 perak dan 11 gangsa. - Gambar fail/Bernama
HANGZHOU: Kontinjen negara di Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 semakin menghampiri sasaran 35 pingat ditetapkan apabila membolot tiga emas, lima perak dan empat gangsa selepas berakhirnya saingan hari ketiga temasya itu, hari ini.
Pencapaian tersebut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada tujuh emas, 11 perak dan 11 gangsa, untuk membolehkan mereka kekal menghuni kedudukan kelapan selain memerlukan hanya enam lagi pingat bagi mencapai sasaran.
Pingat emas kelima hari ini disumbangkan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dalam acara 72 kilogram (kg) pada aksi berlangsung di Gimnasium Xiaoshan selepas melakukan angkatan seberat 230kg yang juga merupakan rekod baharu temasya.
Kem olahraga turut tidak mengecewakan selepas menyumbang satu emas dan satu gangsa di Stadium Pusat Sukan Huang Long.
Emas keenam kontinjen disumbang atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara 400 meter (m) lelaki T20 (kecacatan intelektual) sementara gangsa menerusi Ahmad Fizzi Rosni dalam acara 400m lelaki T36 (kecacatan fizikal).
Kem boccia pula menyumbangkan sebutir emas dan dua perak, menerusi Noor Askuzaimey Mat Salim dalam acara individu wanita BC4 serta masing-masing Angeline Melissa Lawas dalam acara individu wanita BC1 dan Lee Chee Hoong dalam acara individu lelaki BC2.
Sukan berbasikal trek tidak ketinggalan menyumbangkan satu perak dan satu gangsa masing-masing menerusi Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam acara 3000m kejar mengejar individu lelaki C3 dan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara 3000m kejar mengejar individu lelaki C1 di Velodrom Chun' An Jieshou.
Di Arena Sukan Akuatik, atlet renang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli gagal menukar warna pingat perak acara 100m gaya bebas S5 (kecacatan fizikal) pada edisi lepas apabila sekadar meraih gangsa.
Sementara di Hangzhou Wenhui School Lawn Bowl Green, dua perak dan satu gangsa diraih kem boling padang masing-masing menerusi Muhamad Ayub Mohd dalam acara singles lelaki B2 dan Haszelly Elias dalam acara singles lelaki B7 serta Jariah Zakaria menerusi acara singles wanita B7.
China menduduki tangga teratas carta pungutan pingat dengan 118 emas, 96 perak dan 86 gangsa diikutI Iran (24-30-19) dan Jepun (20-21-28).
-- BERNAMA
#pungutan pingat #APG 2022 #kontinjen negara #meraih gangsa
;