APG 2022: Muhammad Nur Syaiful tuai emas pertama di Hangzhou

Bernama
Oktober 23, 2023 13:06 MYT
Muhammad Nur Syaiful meraikan kemenangan selepas memenangi tempat pertama dalam acara 100 meter kuak dada lelaki SB4 sempena temasya Sukan Para Asia Hangzou 2023 hari ini. - Foto Bernama
HANGZHOU: Atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyumbang pingat pertama kontinjen negara pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 apabila meraih emas dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) hari ini.
Pada aksi final di Aquatic Sports Arena, Muhammad Nur Syaiful tiba di garisan penamat dengan mencatatkan satu minit 46.78 saat (s) yang juga merupakan rekod baharu temasya.
Muhammad Nur Syaiful mengatasi rekod milik Nguyen Tranh Trung dari Vietnam 1:50.91s yang dilakukan pada temasya 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Wakil tuan rumah Yin Wenhong meraih pingat perak dengan 1:53.29s manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet Malaysia Zy Lee Kher dengan masa 2:11.80s.
Ketika ditemui, atlet kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu berkata kejayaan diraihnya kali ini dapat menebus kekecewaannya selepas penyertaan dibatalkan dalam acara sama pada edisi Jakarta-Palembang 2018, kerana masalah teknikal.
"Untuk hari pertama ini saya tidak jangka dapat emas sebab acara ini susah. Tidak sangka dapat perbaharui rekod juga.
"Banyak lagi saya perlu perbaiki namun saya cukup gembira dapat menebus kekecewaan pada Sukan Para Asia 2018," katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
#Sukan Para Asia Hangzhou 2022 #Muhammad Nur Syaiful Zulkafli #raih emas #Malaysia #Atlet renang
;