Apex mohon maaf tidak beraksi

Astro Arena
April 14, 2018 10:36 MYT
Khairul Fahmi berharap dia sempat pulih dan cergas sepenuhnya sebelum perlawanan menentang JDT di gelanggang sendiri, 28 April ini. - Foto Astro ARENA
PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex, mengesahkan dia tidak dapat beraksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini, akibat kecederaan di tapak kaki.
Kecederaan yang dialami selepas menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan ketika menentang Bhutan pada dua minggu lepas masih belum pulih sepenuhnya.
"Maaf, kecederaan saya belum pulih dan tidak dapat berjuang bersama rakan lain di Paroi.
"Saya sedar, ini perlawanan hidup mati Kelantan dan harap semua pemain yang bakal diturunkan ketua jurulatih ( Fajer Ibrahim) dapat beraksi cemerlang untuk mengutip mata," katanya.
Bagaimanapun, Apex berharap dia sempat pulih dan cergas sepenuhnya sebelum perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang sendiri, 28 April depan.
"Saya kena bekerja keras selepas pulih nanti untuk memikat Fajer (ketua jurulatih) bagi dipilih dalam kesebelasan utama."
Selepas kehilangan Apex, skuad The Red Warrior mungkin akan menurunkan penjaga gol muda, Mohd Ramadhan Abd Hamid, untuk mengawal benteng akhir daripada ancaman penyerang Skuad Rusa, malam ini.
#Apex #bola sepak #Khairul Fahmi Che Mat #Liga Super #Malaysia #Negeri Sembilan #penjaga gol
;