Apek nafi disisihkan
Astro Awani
Disember 31, 2012 13:34 MYT
Disember 31, 2012 13:34 MYT
Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek menafikan dirinya disisih dan tidak diutamakan dalam perlawanan-perlawanan penting di peringkat antarabangsa.
Jelas Apek, pemilihan untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol utama negara adalah berdasarkan persembahan semasa pemain-pemain negara kini.
Pengantin baru ini juga tidak menafikan ia berlaku atas faktor percaturan jurulatih, Datuk K. Rajagobal.
Lantas, Apek berazam untuk terus meningkatkan prestasinya dan tidak menjadikan situasi ini untuk dia berputus asa.
Penjaga gol berusia 23 tahun ini tercicir dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan gara-gara aksi hambar pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF, bulan lalu.
Sementara itu, Apek menjelaskan tumpuannya kini hanya untuk pasukan kelantan dan kebangsaan. Ia turut dipersetujui isterinya, Nur Eilunie Natasha Nazri.
Mengulas lanjut, Apek memberitahu, masih terlalu awal untuk dirinya memaklumkan perancangan masa depan mereka kepada umum.
Baginya, apa yang penting kini adalah kerjayanya dan soal perniagaan yang diceburi.
Apek ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannnya di Hotel Renaissance, Kota Bharu, pada Ahad lepas.
Pasangan tersebut diijabkabul Jumaat lepas di rumah pengantin perempuan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.