Apabila pingat perak bernilai emas...
Astro Arena
Ogos 8, 2021 15:27 MYT
Ogos 8, 2021 15:27 MYT
ANALISIS awalnya lebih kurang berbunyi Datuk Azizulhasni Awang dipisahkan cuma satu perlumbaan lagi daripada pingat emas Olimpik yang didambakan seluruh rakyat Malaysia sejurus mengesahkan tempat ke final di Velodrom Izu di Shizuoka pagi tadi.
Kemudian, ketika berbaris di garis permulaan bagi perlumbaan kemuncak itu, The Pocket Rocketman sebenarnya hanya dipisahkan lima pelumba untuk menggapai emas yang diyakini – atau sangat diharap dan didoakan – bakal menjadi miliknya.
Bunyinya begitu mudah mengikut percaturan di atas kertas hinggakan ramai mungkin terlupa bahawa acara keirin – sedikit berbeza dengan acara pecut – adalah gabungan kekuatan, taktik dan ‘loteri’.
Sambil kekuatan dan taktik boleh dicerna daripada perancangan, latihan keras dan kepintaran congakan, tiada apa-apa yang dapat dilakukan terhadap faktor ‘loteri’ yang di luar kawalan pelumba mahupun jurulatih mereka dan Azizulhasni sendiri harus mengakui hakikat ini.
“Dalam undian, saya dapat kedudukan kelima di belakang Harrie (pelumba Belanda yang juga pemenang emas pecut, Harrie Lavreysen).
“Kalau saya ke depan awal, ia agak berisiko. Glaetzer (pelumba Australia, Matthew Glaetzer), saya tak tahu apa yang dia buat, dia beri jarak pendahuluan terlalu besar (kepada pelumba Great Britain, Jason Kenny, yang memenangi emas),” kata Azizulhasni dalam temu bual dengan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, selepas perlumbaan.
Kenny, pemenang emas keirin di Rio de Janeiro lima tahun lalu, membuka jarak ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan lagi dan jauh meninggalkan pesaing-pesaingnya tanpa mampu dihambat lagi untuk mengesahkan emas.
Ia meninggalkan Azizulhasni bersaing sengit dengan Lavreysen, hanya untuk dia memintas sejurus melintasi garis penamat untuk Malaysia dihadiahkan pingat perak.
“Perasaan bercampur-campur,” sambung Azizulhasni. “Sedih jugalah kerana saya harapan tunggal untuk emas.
“Suku akhir dan separuh akhir, saya dah lakukan dengan baik.
“Ada suka dan duka… tapi inilah sukan. Adakalanya kita nak menang tapi ia di luar kawalan.
“Tapi saya nak rakyat Malaysia tahu yang saya dah lakukan yang terbaik yang saya termampu,” kata Azizulhasni, yang turut menerima ucapan tahniah daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara," kata Perdana Menteri dalam catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya.
Ini adalah temasya Olimpik keempat buat Azizulhasni, 33, sejak edisi Beijing 2008.
Dia gagal ke final keirin di Beijing, tempat keenam di London 2012 sebelum menyusulinya dengan gangsa di Rio 2016.
Kata Azizulhasni: “Final tadi, saya teringatkan isteri dan anak-anak di Melbourne.
Dari Tingkatan Tiga lagi, saya tinggalkan emak ayah saya di kampung. Ayah saya kena ‘mild stroke’.
“Ia tidak mudah untuk saya kali ini. Masa saya kayuh, saya ingat mereka… keluarga, anak-anak, emak ayah saya.
“Saya buat yang terbaik untuk mereka, untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Ketika temu bual itu, Bazly memaklumkan kepada Azizulhasni bahawa isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samat, baru disahkan hamil anak ketiga mereka – sesuatu yang mahu dirahsiakan daripada pelumba itu sehingga dia memenangi pingat emas di Tokyo.
Namun, emas belum rezekinya lagi di sebalik pingat perak yang diraihnya adalah satu peningkatan daripada gangsa yang dikalungkan ke lehernya di Rio.
Ia bukan pun satu kegagalan ketika temasya Paris 2024 bakal menggamit kedatangannya – satu kemungkinan yang pantas dijawabnya: “Itu memang dalam perancangan. Paris… saya nak berehat dulu. Sekarang, saya tak sabar nak balik jumpa keluarga saya.
“Pingat perak ini adalah yang terbaik untuk negara pada waktu ini,” katanya yang kelihatan turut menerima ucapan tahniah dan ditenangkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, di Velodrom Izu.
Apa pun, kilauan perak yang dimilikinya tetap dilihat bernilai emas pada ketika andaian dia “dipisahkan cuma satu perlumbaan, hanya dipisahkan lima pelumba” boleh juga berkesudahan pulang dengan tangan kosong.
Tepat sekali seperti disimpulkan oleh Bazly: “Azizulhasni… anda memang legenda berbasikal negara.”
- StadiumAstro.com \ Asmawi Bakiri
#Azizulhasni Awang
#keirin
#pingat perak
#atlet berbasikal
#legenda berbasikal
#sukan
#Olimpik Tokyo
#Tokyo 2020