Apa cerita Stadium Nasional Bukit Jalil? Mengapa tak tukar rumput sintetik? Ini jawapan PSM
Bernama
Oktober 8, 2022 21:47 MYT
Oktober 8, 2022 21:47 MYT
BERDIRI megah sebagai lambang kesukanan negara, dinobatkan sebagai Stadium Terbaik Dunia kategori Stadium Sedia Ada di Kongres Stadium Dunia 2018, Belanda dan antara 10 stadium bola sepak terbesar di dunia.
Terlalu banyak sejarah terlakar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sejak digunakan secara rasmi pada Sukan Komanwel 1998 - bermula daripada temasya sukan hingga ke acara dan persembahan bertaraf antarabangsa.
Namun yang sering mencuri tumpuan adalah keadaan padang "kandang rasmi" Harimau Malaya ini.
Siapa boleh lupa insiden "menyodok air" sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 beberapa bulan lepas?
Isu rumput yang dikatakan tidak berkualiti serta sistem perparitan yang kurang berkesan sering menghambat SNBJ, sehingga ada yang mempersoalkan, mengapa tidak gunakan saja rumput sintetik?
STADIUM PELBAGAI GUNA
Dalam hal ini, perkara pertama yang harus difahami adalah peranan SNBJ sebagai fasiliti sukan dan rekreasi pelbagai guna, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
PSM adalah badan berkanun kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang mengurus dan menyelenggara kompleks serta arena sukan KBS.
Mohd Faidz menjelaskan, SNBJ memerlukan padang dan jenis rumput yang sesuai untuk semua acara dan isunya bukan sekadar menukar jenis rumput tetapi turut mencakupi aspek penyelenggaraan.
"Pembudayaan penyelenggaraan kena ada. You can build tapi tak semestinya you can maintain (anda boleh bina tapi tak semestinya anda boleh selenggara). Macam kereta, kalau dijaga dengan baik, akan tahan lama.
"Penyelenggaraan juga melibatkan kos. PSM adalah agensi kerajaan yang bergantung pada geran kerajaan, jadi apa yang PSM putuskan perlu berdasarkan peruntukan yang diberi," jelasnya lagi.
PENJAGAAN RUMPUT
Rumput di stadium yang boleh memuatkan lebih daripada 80,000 penonton ini telah melalui empat proses pertukaran dan penambahbaikan.
Kali terakhir pada 2015, melibatkan pemilihan rumput jenis axonopus compressus kerana ketahanannya terhadap teduhan dan musim kemarau, selain tahan lasak dan kos penyelenggaraan yang efisyen.
"Untuk penjagaan rumput, ada tiga faktor utama - udara, air dan cahaya. Keseluruhan padang SNBJ ini hanya mendapat cahaya matahari penuh satu jam sehari sedangkan untuk padang seperti ini perlu sekurang-kurangnya lapan jam cahaya matahari penuh.
"Kita terpaksa guna grow light. Lebih kurang macam cahaya tiruan untuk rumput tumbuh dan pembajaan. Ada juga kerja manual untuk periksa sekiranya ada rumput yang rosak atau ada rumpai, semua ada jadual tersendiri," kata Mohd Faidz.
Bagi penjagaan padang ketika acara seperti konsert contohnya, PSM dan penganjur akan bekerjasama rapat sebelum, semasa dan selepas acara. Semua langkah diambil bagi memastikan kerosakan rumput pada tahap minimum.
"Padang akan mengambil masa seminggu dua untuk pulih sekiranya ada kerosakan. Rumput boleh hidup tanpa cahaya matahari dan air untuk tempoh tertentu, jadi apabila kita tutup padang atau meletakkan sesuatu di atasnya, kita kena pastikan ia masih boleh menerima udara yang mencukupi dan tidak melebihi tempoh waktu tertentu," katanya lagi.
PENAMBAHBAIKAN DAN PENYELENGGARAAN
Ketika ini penggunaan SNBJ untuk acara yang memerlukan padang ditutup secara berperingkat bagi aspek penyelenggaraan fasiliti secara menyeluruh. Selain padang, penambahbaikan juga meliputi aspek lain seperti tandas, papan skor dan sebagainya.
Khusus untuk padang, antara isu yang dikenal pasti adalah kekurangan penerimaan cahaya matahari, aliran udara rendah, kelembapan tanah yang tinggi, sistem perparitan yang usang dan kerosakan pada sistem pengairan.
Cadangan kerja menaik taraf padang ini antara lain melibatkan penggunaan grow light, kipas turf mudah alih dan penukaran medium penanaman, bumbung, sistem perparitan serta pengairan.
Menyentuh proses penajaaan oleh Tunku Mahkota Johor dan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Mohd Faidz berkata ia kini sudah di peringkat KBS dan proses seterusnya adalah rundingan terus dengan Kementerian Kewangan.
"Suku pertama tahun hadapan. Insya-Allah, kami cuba sedaya mungkin supaya padang ini cepat kita tukar. Bukan sahaja rumput tetapi termasuk struktur di bawah padang dan saliran. Kita pastikan proses penukaran dapat berlaku secepat dan semulus mungkin," katanya lagi.
Sementara menunggu kerja-kerja penukaran siap, PSM tidak ketinggalan membuat persediaan seperti nurseri, pembelian peralatan penyelenggaran padang dan penyediaan bengkel.
Laporan Bernama sebelum ini menyebut, Tunku Mahkota Johor berkenan menaja perbelanjaan pertukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di SNBJ sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya. Kerja pertukaran padang tersebut dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1.4 juta.
INSIDEN 'PENYODOK AIR'
Perbualan kami petang itu tidak akan lengkap tanpa penjelasan mengenai insiden petugas stadium yang dirakam menggunakan penyodok sampah dan kadbod untuk mengeluarkan air bertakung ketika kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu.
Mohd Faidz, yang mula memikul tugas di PSM sejak 18 Mac lalu sempat berdiam seketika bagi menyusun kata terbaik menangani isu ini untuk kesekian kali.
"Saya tak akan ungkit apa yang berlaku dan perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku lagi. Ia bukan amalan biasa bagi PSM.
"Bergerak ke hadapan, jika kita menghadapi perkara yang sama, saya percaya hanya PSM sahaja yang bertanggungjawab ke atas padang itu. Maknanya, padang ini bawah seliaan PSM, biarlah PSM sahaja yang menguruskan padang itu" katanya.
- BERNAMA