Anugerah SAM: Nur Ain Nabilah-Aleena cipta sejarah, Liek Hou kekal penguasaaan

Bernama
Jun 6, 2024 07:20 MYT
Ahmad Zahid menyampaikan hadiah kepada atlet boling padang negara Nur Ain (tiga, kiri) dan Aleena (dua, kanan) yang memenangi anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Gandingan boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mencipta sejarah apabila muncul wakil boling padang memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam tadi.
Mereka mengatasi dua bintang skuasy negara S. Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia Natasha Mohamed Roslan.
September lepas, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon, 15-12 di di Gold Coast, Australia.
Aleena mengakui mereka amat terharu menjadi wakil pertama sukan boling padang dinobatkan sebagai Atlet Terbaik tahun lepas.
"Kejayaan hari ini sangat bermakna kami tersenarai dalam Anugerah SAM dan pecah rekod muncul atlet pertama boling padang menang Anugerah Atlet Terbaik," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan calon lain iaitu jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia Noor Askuzaimey Mat Salim.
Liek Hou berkata beliau amat bangga dapat mengekalkan penguasaannya dalam kategori tersebut dan optimis kejayaan hari ini membakar semangatnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada edisi 2024 di Paris.
"Kemenangan ini hadir kerana saya dapat menampilkan prestasi bagus, berada dalam keadaan baik dan memenangi beberapa kejohanan tahun 2023," katanya.
Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun lepas adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.
Gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini.
Majlis turut menghargai wartawan sukan tanah air dengan menyaksikan laporan berita 'Tandus Pelapis' terbitan Harian Metro dihasilkan Firdaus Hashim, Aida Adilah Mat dan Amirul Fazli Zulkafli diangkat sebagai pemenang Anugerah Siebel.
Mereka membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah RM7,000 dan sebuah trofi.
-- BERNAMA
#Persatuan Sahabat Alam Malaysia #Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi #atlet terbaik #Anugerah SAM
;