Anugerah SAM 2018: Rafiq, Ridzuan dinobat atlet terbaik

Astro Arena
April 10, 2019 04:00 MYT
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Astro Arena
ATLET boling tenpin negara, Muhammad Rafiq Ismail, dan jaguh olahraga para kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi, masing-masing diumumkan sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik dalam majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2018 di Petaling Jaya, malam ini.
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat ke majlis gilang-gemilang itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam majlis itu, SAM turut menyampaikan Anugerah Khas Sepanjang Hayat buat Penaung Diraja SAM, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, di atas sumbangan besar baginda kepada arena sukan negara, khususnya bola sepak.
Majlis tahun ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 1969.
Dalam pada itu, Rafiq mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor negara seperti jaguh berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang, gandingan dua ratu terjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).
Rafiq melakar kejayaan cemerlang sepanjang tahun lalu dengan meraih pingat emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong untuk menjadi atlet Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.
Atlet muda berusia 22 tahun itu turut cemerlang dalam Sukan Asia Indonesia dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara masters dan trio lelaki selain muncul sebagai juara kebangsaan buat kali kedua selepas 2015.
"Terdapat ramai lagi atlet yang lebih baik tetapi malam ini saya bersyukur kerana menerima gelaran ini.
"Ia sememangnya tidak dijangka dan saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya.
Ridzuan pula mengetepikan saingan dua lagi jaguh sukan olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain Bonnie Bunyau Anak Gustin daripada sukan powerlifting.
Atlet kelahiran Perlis itu, yang dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018, melakar kejayaan membanggakan dalam Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan Asia.
Ia adalah kali kedua Ridzuan dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik selepas menerimanya pada tahun 2016.
Dalam majlis itu, atlet berusia 31 tahun itu turut menerima Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS, yang memberi peluang kepada peminat sukan negara untuk mengundi atlet pilihan masing-masing berdasarkan prestasi terbaik yang dipamerkan sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, Astro Arena turut meraih tiga anugerah kewartawanan, iaitu Anugerah Laporan Khas Terbaik (Bazly Azmi), Anugerah Laporan Berita Terbaik (Fina Nasrom) dan Anugerah Ulasan Berita Media Elektronik (Fina dan Ahmed Shahrazad Sani).
SENARAI PEMENANG:
Atlet Terbaik: Muhammad Rafiq Ismail (Boling Tenpin)
Atlet Paralimpik Terbaik: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)
Atlet Muda Terbaik: Muhammad Fauzi Kaman Shah (Pelayaran)
Persatuan Sukan Dinamik: Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA)
Anugerah Khas: Regu Sepak Takraw
Pemain Terbaik Liga KPM 2018: Irfan Shahkimi Shahrizal
Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin #Anugerah Atlet Terbaik #Atlet Paralimpik Terbaik #Azizulhasni Awang #Mohamad Ridzuan Mohd Puzi #Muhammad Rafiq Ismail #SAM 2018 #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Yang di-Pertuan Agong
;