Anugerah Puskas: Kedah sedia ganjaran kepada Faiz Subri
Bernama
Januari 6, 2017 07:19 MYT
Januari 6, 2017 07:19 MYT
Kerajaan negeri akan memberi sumbangan wang tunai kepada Mohd Faiz Subri yang merupakan anak jati Kedah, atas pencapaiannya tercalon sebagai finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Datuk Aminuddin Omar berkata, majlis penyampaian sumbangan itu sepatutnya diadakan Rabu lalu sempena sambutan Piala Malaysia di Sik, namun terpaksa ditanggguhkan kerana Mohd Faiz mempunyai komitmen lain ketika itu.
"Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersetuju untuk memberi sendiri sumbangan tersebut kepada Faiz tapi jumlahnya saya tidak pasti.
"Sumbangan sepatutnya diberikan sebelum beliau berangkat ke Zurich tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kita hanya akan memberikan sumbangan tersebut sekembalinya beliau dari sana," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.
Mohd Faiz dipilih sebagai antara tiga finalis anugerah itu yang akan disampaikan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Jan ini.
Jaringan yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan Mohd Faiz, anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah, ketika membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb tahun lepas.
Dua lagi calon bagi anugerah itu ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela. - BERNAMA