Anugerah Perpaduan SAM: Astro Arena menang tiga kategori
Astro Arena
September 6, 2022 07:30 MYT
September 6, 2022 07:30 MYT
KEM bilik berita Astro Arena meraih tiga anugerah utama dalam Majlis Anugerah Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) edisi 2020-21 di ibu negara semalam.
Selepas dua tahun ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19, anugerah kewartawanan sukan itu kembali dengan mempertandingkan 17 anugerah daripada lapan kategori serta penghargaan tertinggi, Anugerah Siebel.
Astro Arena memenangi tiga gelaran utama, iaitu Laporan Khas Terbaik Terbuka 2020 (Ahmed Shahrazad Sani), Laporan Berita Terbaik Media Elektronik 2021 (Zulhelmi Zainal Azam) dan Anugerah Ulasan Berita Terbaik 2021 (Karl Nunis).
Pada majlis itu, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik.
Sementara itu, wartawan penyiaran TV3, Al Shaiful Nazib Talib muncul selaku pemenang Anugerah Siebel.