Anugerah Laureus 2014 akan disiarkan secara langsung ke lebih 100 negara
Astro Awani
Mac 23, 2014 12:55 MYT
Mac 23, 2014 12:55 MYT
Majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus akan disiarkan secara langsung ke lebih 100 negara dan dapat ditonton oleh lebih satu bilion penonton.
Majlis itu juga turut disiarkan secara tertunda kepada lebih 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Antara badan penyiaran Asia yang akan menyiarkan majlis anugerah ini secara langsung adalah RTM (Malaysia), Shanghai Media Group (China), Fox Sports (Australia), Mediacorp (Singapura), Star Sports (India) dan Fox Sports (Pan-Asia).
Berjuta-juta penonton dari seluruh dunia juga akan dapat menyaksikan majlis ini secara tertunda, beberapa hari selepas majlis anugerah berakhir, selain berjuta-juta lagi dapat mengikuti berita mengenai majlis itu yang diagihkan oleh Laureus pada malam majlis anugerah berlangsung.
Majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus kini adalah majlis anugerah kedua tertinggi dari segi jumlah penonton.
Sebagai tambahan, liputan meluas berita khas juga akan dihasilkan oleh CNN, Channel News Asia, Al Jazeera, Eurosport, Dubai Sports Channel dan Supersport, selain lebih 30 syarikat penyiar yang membuat liputan malam anugerah itu di Kuala Lumpur.
Majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014, yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada Rabu, 26 Mac ini, akan dihadiri oleh penonton bertaraf bintang terdiri daripada atlet lelaki dan wanita serta tetamu terkenal dalam bidang fesyen, hiburan dan perniagaan.
Diadakan buat kali ke-15, Anugerah Laureus adalah majlis pengiktirafan perdana dalam kalendar sukan antarabangsa. Pemenang, yang akan dipilih oleh anggota Akademi Dunia Sukan Laureus, iaitu panel juri sukan tertinggi yang dianggotai 46 legenda sukan terhebat yang masih hidup, akan diumumkan pada majlis gilang-gemilang di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Majlis Anugerah kali ini akan dikendalikan oleh pengacara Benedict Cumberbatch, pelakon terkenal Britain manakala pemenang Oscar dan Grammy, Jamie Foxx akan mengadakan persembahan istimewa.