Anugerah jadi motivasi Rashid Sidek untuk terus berbakti dalam sukan badminton

Bernama
Februari 1, 2021 20:53 MYT
Rashid merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara Abdul Rashid Mohd Sidek menyifatkan anugerah Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk diterima sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021, menaikkan semangatnya untuk terus menyumbang bakti dalam pembangunan badminton negara ini.
"Alhamdulillah, saya ingin berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan yang mencadangkan nama saya, untuk menerima gelaran Datuk.
"Ini mungkin kerana jasa dan sumbangan kerana mengharumkan nama negara dalam sukan badminton seperti menang Piala Thomas (pada 1992) dan pingat gangsa Sukan Olimpik (di Atlanta pada 1996)," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Beliau merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 semalam.
Seorang lagi bekas pemain badminton negara Cheah Soon Kit, yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 1996, turut menerima anugerah PMW.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media khas pada Isnin berkata, tarikh istiadat pengurniaan sedang dimuktamadkan.
-- BERNAMA
#badminton #rashid sidek #Cheah Soon Kit #Annuar Musa #Datuk #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri yatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Hari Wilayah Persekutuan #Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah