Annuar Musa: Saya tidak dimaklumkan apa-apa

Astro Awani
Februari 21, 2013 17:39 MYT
Susulan kes denda dikenakan oleh badan induk bolasepak, FAM terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), penasihatnya Tan Sri Annuar Musa mengatakan perkara ini tidak dimaklumkan kepada beliau.
“Saya tidak dimaklumkan apa-apa mengenai denda yang dikenakan oleh FAM terhadap KAFA secara rasmi,” katanya.
KAFA didenda sejumlah RM62,500 oleh FAM gara-gara kekecohan semasa perlawanan menentang Johor Darul Takzim di Kota Bharu 15 Januari lalu.
Ianya berikutan gagal mengawal ciri-ciri keselamatan semasa perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Keempat itu.
Annuar yang ditemui siang tadi mengambil pendirian untuk menunggu surat rasmi dari FAM sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung denda berkenaan.
Sementara itu, penyokong Kelantan nyata berang dengan denda yang dikenakan oleh FAM itu.
Mereka berpandangan FAM bersikap pilih kasih dan tidak memikirkan sentimen penyokong Kelantan.
Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors, Mohamed Zaini Mohd Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan ini.
“Saya amat kecewa dan harap FAM meneliti perkara ini terlebih dahulu dan jangan terus buat hukuman,” kata Zaini.
Beliau menambah, sebagai penyokong Kelantan, beliau akan mula membuat tabung mengutip duit bagi membayar denda tersebut dengan menggunakan duit syiling.
#denda #FAM #KAFA #Tan Sri Annuar Musa
;