Annuar mahu FMLLP, FAM bersikap adil kepada Kafa
Bernama
Julai 6, 2017 17:07 MYT
Julai 6, 2017 17:07 MYT
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bersikap adil dalam membuat keputusan terhadap permohonan Kafa untuk mendapatkan khidmat pemain import dari Perancis, Seydi L' Imam bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan berkenaan.
Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata pasukan Kelantan seolah-olah dilayan dengan buruk oleh FAM dan FMLLP apabila melakukan keputusan menyekat Kafa membawa masuk pemain import tersebut.
"Saya minta Kafa terus melakukan rayuan dengan fakta yang cukup kerana saya terpedaya dengan mesej pihak tertentu kononnya sekiranya kita (Kafa) setuju Mohammed Ghaddar (bekas pemain import Kelantan) berpindah dengan bayaran lumayan membolehkan Kafa membeli pemain lain," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, FMLLP menolak permohonan Kafa untuk membawa memasuk Seydi L' Imam bagi menggantikan seorang lagi pemain import, Alessandro Padovani Celin pada jendela perpindahan Liga Malaysia yang lepas.
Sekatan yang dilakukan oleh FMLLP itu dilakukan berikutan Kafa gagal melengkapkan dokumentasi seperti diminta oleh badan pengendali Liga Malaysia itu, selain tidak memenuhi kriteria pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M).
Annuar berkata sekiranya Kafa mengetahui sekatan permohonan untuk mendapatkan pemain terbabit akan dilakukan sudah tentu pihaknya tidak memindahkan dan meminjamkan pemain pasukan Kelantan kepada pasukan lain.
"Waktu itu saya langsung tidak tahu kita (Kafa) sudah tertakluk kepada sekatan mendaftarkan pemain baru kerana rancangan asal ialah untuk menggantikan seorang pemain import yang tidak cergas dan berprestasi rendah, yang notis penamatan kontraknya sudah diputuskan April lalu.
"Apa lebih aneh pemain tersebut (Alessandro Padovani Celin) sudah dibatal pendaftarannya oleh FMLLP, tetapi bila kita memohon untuk daftar Imam (Seydi L' Imam) bagi menggantikan pemain itu (Celin), FMLLP mendaftarkan semula pemain itu menyebabkan Kafa terpaksa memikul beban gaji kedua-dua pemain import terbabit di samping dipaksa bermain dengan pemain yang kita tahu pretasinya rendah," katanya.
Beliau berkata FMLLP perlu mempertimbangkan semula perkara tersebut dan jangan menganiayai Kafa setelah pihaknya dan penaja pasukan berhempas pulas membantu menghidupkan Liga-M.
"Kelantan dan penggiat bola sepak Kelantan telah banyak menyumbang kepada individu dan FAM, apa yang kita perlukan keadilan dan keputusan yang tertib, jelas dan saksama, tidak lebih daripada itu," kata Annuar.
-- BERNAMA