Aniq Kasdan kecewa sukan angkat berat masih dipalit masalah doping
Astro Arena
September 27, 2022 09:30 MYT
September 27, 2022 09:30 MYT
PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aniq Kasdan, kecewa apabila masih ada isu penggunaan bahan terlarang dalam sukan angkat berat pada ketika Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mempertimbangkan untuk kembali menyenaraikan sukan itu sebagai antara sukan teras.
Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) MSN tahun ini digemparkan dengan tiga kes positif ujian doping dalam sukan angkat berat yang dilaporkan melibatkan atlet muda.
Tegas Aniq, barisan atlet elit kebangsaan sudah berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan imej sukan itu tetapi ia juga memerlukan peranan daripada setiap pihak.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, dia berkata: "Kami pergi ke kejohanan tanpa dana yang mencukupi, berlatih tanpa fasiliti dan makanan tambahan yang sewajarnya.
"Rasa kecewa juga kerana penat kami berusaha menaikkan semula imej sukan ini dan tiba-tiba masih ada yang 'sangkut'.
"Kesannya, mungkin peluang kami untuk masuk ke sukan teras menjadi agak sukar.
"Sebelum ini, MSN sudah bersetuju untuk memasukkan kami semula ke dalam sukan teras tetapi selepas isu ini, saya tidak tahu apa yang akan terjadi.
"Jika bukan dalam sukan teras, agak sukar untuk kami memiliki program pelapis, jadi buat adik-adik yang ada bakat dan mahu pergi jauh, agak sukar untuk mereka berkembang.
"Saya tidak tahu apa tindakan MSN selepas ini, apa yang boleh saya buat setakat ini adalah berlatih, belajar dan kalau masih ada jalan, saya akan meneruskannya tetapi jika ia gelap sedikit, saya hanya fokus sahaja," katanya.