Angkat berat: Hafifi, Zulhelmi intai peluang tersenarai ke Rio
Bernama
Mei 3, 2016 18:09 MYT
Mei 3, 2016 18:09 MYT
Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor dan Zulhelmi Md Pisol masing-masing mengharapkan terpilih mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.
Selepas Malaysia mendapat satu slot dalam acara angkat berat ke Sukan Olimpik Sabtu lepas, kedua-dua atlet itu kini mahu meyakinkan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk terpilih ke temasya sukan empat tahun sekali itu.
Bagi Mohd Hafifi, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dalam kategori 69kg, ini merupakan masa terbaik bagi dirinya bersaing di pentas Olimpik kerana faktor usianya.
"Saya memang sasar nak pergi kerana saya sudah berumur 26 tahun sekarang, kalau nak tunggu Olimpik seterusnya, umur saya akan mencecah 30 tahun. Apa pun, terpulang kepada persatuan untuk memilih atlet yang paling sesuai ke Rio.
"Jika diberi peluang, saya akan buat yang terbaik kerana kita pun hanya mendapat satu slot sahaja...jadi, tidak boleh mensia-siakan peluang itu," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, sekembalinya dari Tashkent, Uzbekistan hari ini.
Malaysia meraih satu slot ke Rio selepas mendapat tempat keenam di Kejohanan Angkat Berat Asia 2016 di Tashkent pada Sabtu lalu dengan 137 mata.
Namun, PABM masih belum memutuskan nama atlet yang bakal membawa cabaran negara di Rio nanti.
Kejohanan di Tashkent itu yang disertai 28 negara, merupakan acara kelayakan terakhir bagi Sukan Olimpik Rio untuk rantau ini.
Selain Malaysia, turut meraih slot ke Sukan Olimpik ialah Jepun, Iran, Kyrgyzstan, Syria, India dan Turkmenistan.
"Dari segi prestasi, tahun lalu saya hanya dapat melakukan angkatan sejumlah 304kg, tetapi di Uzbekistan, saya dapat lakukan 311kg...ada peningkatan.
"Jika diberi peluang ke Rio, saya akan cuba lakukan 320kg atau 325kg," katanya yang memiliki catatan peribadi terbaik dengan angkatan sejumlah 331kg di Kejohanan Dunia 2011.
Sementara itu, Zulhelmi yang meraih pingat perak dalam kategori 56kg di Glasgow pada 2014, turut berharap beliau diberi peluang untuk ke Rio.
"Saya lihat saya dan Hafifi mempunyai peluang yang besar untuk dipilih ke Olimpik, tetapi kita perlu tunggu keputusan PABM. Keputusan akan dibuat berdasarkan prestasi dan ranking dunia terkini.
"Saya sedia menerima apapun keputusan yang bakal dibuat," kata atlet berusia 22 tahun yang mencatat angkatan sejumlah 251kg.
#atlet angkat berat
#Brazil
#Mohd Hafifi Mansor
#Rio
#sukan angkat berat
#Sukan Olimpik
#Zulhelmi Md Pisol