Angkat Berat Dunia: Aznil tempah tiket Sukan Komanwel Birmingham
Astro Arena
Disember 10, 2021 06:05 MYT
Disember 10, 2021 06:05 MYT
ATLET angkat berat kebangsaan, Aznil Bidin, mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan mengesahkan tempat ke Sukan Komanwel 2022.
Dia beraksi dalam kategori 61 kg, Kejohanan Dunia di Uzbekistan untuk muncul sebagai atlet negara kedua yang meraih pingat emas selepas Mohamad Aniq Kasdan (55kg), secara tidak langsung layak ke Birmingham yang diadakan hujung tahun depan.
Aznil mengungguli saingan kelayakan Sukan Komanwel itu selepas mencatat angkatan 120 kg dalam kategori 'snatch' sementara dalam disiplin 'clean and jerk', Aznil mencatat angkatan 153 kg untuk jumlah 273 kg.
Dalam Kejohanan Dunia itu, dia menempatkan diri di kedudukan kelima di belakang pemenang juara daripada Korea Selatan, Shin Rok.
"Terima kasih kepada PABM kerana beri peluang kepada kami untuk (bertanding dalam) Kejohanan Dunia sekali gus layak ke Sukan Komanwel.
"Terima kasih kepada semua kerana beri sokongan dari jauh bagi membuktikan sukan angkat berat (boleh) maju lebih jauh pada masa depan," kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu.