Angkat berat boleh buat wanita jadi 'sado'? Fakta atau fiksyen?
Zulkhairi Azam
September 10, 2023 12:09 MYT
September 10, 2023 12:09 MYT
DARI dulu hingga sekarang, ramai wanita enggan melakukan senaman angkat berat kerana beranggapan tubuh mereka akan menjadi berotot dan hilang bentuk badan feminin.
Tanggapan ini semakin menebal di zaman media sosial ketika ini apabila ramai pempengaruh kesihatan wanita di dalam dan luar negara mempamerkan bentuk badan berotot kekar dengan berlatarbelakangkan gimnasium dan peralatan senaman angkat berat.
Secara tidak langsung, ia menguatkkan tanggapan dan persepsi umum bahawa senaman angkat berat sinonim dengan bentuk badan berotot seakan-akan lelaki.
Mitos ini perlu dipatahkan!
Sebenarnya yang semua perlu tahu adalah wanita mempunyai kadar hormon testosteron yang lebih rendah berbanding lelaki. Testosteron ini adalah hormon yang memainkan peranan penting dalam pembentukan otot manusia. Oleh itu, adalah sukar bagi wanita untuk mendapatkan otot yang sama besar seperti lelaki dengan melakukan senaman angkat berat.
Menurut kajian saintifik, wanita tidak akan menjadi berotot seperti lelaki hanya dengan melakukan senaman angkat berat.
Sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2020 di dalam jurnal "Strength and Conditioning Research" menunjukkan bahawa latihan angkat berat sebenarnya dapat membantu wanita menurunkan kadar lemak badan dan meningkatkan kekuatan tanpa menambah saiz otot secara signifikan.
Kajian ini melibatkan wanita yang melakukan latihan angkat berat selama dua hari dalam seminggu selama 24 minggu. Hasilnya, peserta kajian menunjukkan peningkatan kekuatan sebanyak 36 hingga 39 peratus, sementara komposisi lemak badan mereka berkurang sebanyak 2.6 peratus. Bagus bukan?
Latihan angkat berat juga amat membantu dalam meningkatkan kepadatan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis, suatu kondisi yang membuatkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.
Selain itu, angkat berat juga dapat membantu dalam meningkatkan metabolisme, di mana anda akan membakar lebih banyak kalori, bahkan ketika anda sedang beristirehat.
Jadi, jangan takut untuk memasukkan senaman angkat berat dalam rutin senaman anda. Anda tidak akan menjadi berotot seperti Mr. Universe, tetapi anda akan dapat tubuh yang lebih kuat, lebih ramping, dan lebih sihat.
Anda cuma memerlukan nasihat dan bimbingan daripada orang yang betul, bukannya orang yang acah-acah serba tahu. Jadi, kaum wanita yang ingin kurangkan lemak dan menjadi lebih sihat, mari bersama-sama patahkan mitos ini dan mulai senaman angkat berat untuk kesihatan yang lebih baik.
* Dr Zulkhairi Azam ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.