Angel Di Maria jangka PSG pecat Mauricio Pochettino
Astro Arena
Jun 7, 2022 09:15 MYT
Jun 7, 2022 09:15 MYT
ANGEL Di Maria memberi bayangan bahawa Mauricio Pochettino bakal kehilangan jawatannya sebagai sebahagian daripada rombakan besar-besaran di Paris Saint-Germain (PSG) sebelum sepak mula musim depan.
Pochettino mengikat kontrak di PSG hingga 2023 tetapi jawatannya sudah lama dilaporkan terancam.
Pengurus Roma, Jose Mourinho, menjadi nama terbaru yang dikaitkan dengan juara Ligue 1 itu dan tidak kurang juga spekulasi mengaitkan Zinedine Zidane sedia menyahut cabaran di sana.
Di Maria memainkan peranan terakhirnya bersama gergasi Paris itu dengan kontraknya akan tamat pada hujung bulan ini dan pemain sayap tersebut mendedahkan Pochettino juga mungkin akan disingkirkan.
Pemain antarabangsa Argentina itu memberitahu TyC Sports: "Ada pemain lain yang pasti akan pergi. Saya adalah yang paling mudah kerana mereka tidak perlu memperbaharui kontrak.
"Di satu pihak ia menyakitkan dan di sisi yang lain pula sebenarnya tidak. Saya pergi dengan cara yang sangat istimewa. Ia adalah malam yang tidak dapat dilupakan - seorang warga Argentina di negara asing diberi hadiah perpisahan seperti sebegitu, tidak semua pemain dapat menikmatinya."
Di Maria diberi tepukan gemuruh apabila digantikan ketika membelasah Metz 5-0.
"Kasih sayang peminat PSG, mereka yang berdiri di belakang gol adalah perkara paling mengagumkan. Ketika saya bersiar-siar, mereka menyanyi untuk saya selain melukis mural untuk saya tandatangani. Ia adalah peristawa yang akan kekal dalam ingatan saya."
Tambahnya yang dikaitkan ke Juventus dan Barcelona: "Nampaknya mereka juga mahu pengurus pergi. Akan ada rombakan besar tetapi saya fikir Lionel Messi tahu cara untuk mengendalikannya.
"Ia akan membantunya untuk menjadi lebih baik musim depan. Saya fikir ia akan bertambah baik kerana dia sudah mula menemui sentuhan berbisa, mencipta bantuan gol, berasa sangat selesa dan makin menyesuaikan diri."