Andrew, Chen Jie diumum Atlet Terbaik SUKMA 2024

Bernama
Ogos 24, 2024 22:05 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Atlet Terbaik Wanita kepada Penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie semasa Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024. - Foto BERNAMA
KUCHING: Perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Selaku atlet terbaik SUKMA 2024, Andrew dan Chen Jie membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala iringan dan piala pusingan setiap seorang.
Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada upacara penutupan yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam ini.
Andrew, 20, diangkat sebagai penerima anugerah itu selepas meraih lima pingat emas, dua dengan memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 100m kuak dada (1:01.39s) dan 50m kuak dada menerusi masa 28.03s pada saringan dan 27.40s pada final, mengatasi rekod Sukan SEA 27.56s yang dicatatkan perenang Indonesia Felix Viktor Iberie pada edisi 2023 di Kemboja.
Beliau yang beraksi di SUKMA buat kali kedua, turut merangkul emas dengan memadam rekod SUKMA bagi acara 200m kuak dada, 4x100m rampaian lelaki, selain sebutir lagi emas menerusi acara 4x100m rampaian campuran.
Kejayaan itu membantu beliau mengatasi atlet tumpuan seperti penembak Pahang Cheah Zen Hong (tujuh emas, satu rekod temasya), perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry (enam emas, dua perak, empat rekod temasya) dan pelari Johor Umar Osman (empat emas, tiga rekod temasya).
Sementara itu, Chen Jie, yang sebutannya seakan-akan 'Cheng Chi' yang membawa maksud peluru dalam dialek Hokkien, merangkul gelaran itu selepas meraih tujuh pingat emas, dua dengan rekod temasya.
Beliau mencatatkan rekod dalam acara 10m Air Rifle individu dengan 248.2 mata mengatasi catatan 243.7 mata dan 50m Rifle 3 Posisi dengan 499 mata mengatasi rekod 443.5 mata, selain membawa pulang emas 50m Rifle Prone, acara berpasukan wanita bagi 10m Air Rifle, 50m Rifle Prone dan 50m Rifle 3 Posisi serta 10m Air Rifle campuran.
Pencapaiannya itu berjaya membantu skuad menembak Negeri Sembilan mencipta kejutan meraih 12 emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua, hanya sedikit ketinggalan di belakang Pahang yang merangkul 12 emas, lima perak dan empat gangsa.
Bidikan tepat Chen Jie berjaya mengatasi pencabar lain, antaranya perenang tuan rumah Kelly Teo Yao (enam emas, satu perak, dua gangsa), atlet gimrama Wilayah Persekutuan Cassidy Tan Jia Xin (empat emas, satu perak) dan pelari pecut Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (tiga emas, satu gangsa, dua rekod temasya).
Sarawak muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.
-- BERNAMA
#Sukma 2024 #atlet terbaik #andrew goh #Gan Chen Jie
;