Analisis prestasi dalam sukan bola sepak Malaysia: Kunci kejayaan?

Kolumnis AWANI
November 11, 2023 13:30 MYT
Melalui analisis video, data statistik dan teknologi pemantauan, jurulatih dan atlet boleh memeriksa setiap aspek permainan mereka, membolehkan mereka membuat penyesuaian yang diperlukan. - Gambar hiasan
KALAU kita bercakap mengenai analisis prestasi atau ‘performance analysis’, mesti ramai yang kurang tahu. Tapi sebenarnya perkara ini kerap kali kita nampak semasa perlawanan bola sepak Liga Super yang kemudiannya akan menunjukkan statistik permainan yang terpampang di kaca televisyen kita.
Contohnya seperti berapa kali pasukan negeri Selangor membuat tendangan ke arah gol atau berapa banyak pasukan JDT mengawal bola berbanding pihak lawan. Itulah serba sedikit asas kepada analisis prestasi.
Akan tetapi, fungsi analisis prestasi adalah lebih besar daripada itu dan kini menjadi salah satu instrumen paling berharga dalam meningkatkan kemampuan atlet dan menaikkan prestasi keseluruhan sesuatu sukan. Tapi apa sebenarnya kepentingan analisis prestasi dalam pembangunan dan peningkatan atlet dan pasukan? Jawapannya terletak pada data yang dihasilkan oleh penganalisis prestasi.
Salah satu kelebihan utama analisis prestasi ialah ia memberi pemahaman yang mendalam tentang kekuatan dan kelemahan seseorang atlet atau pasukan tersebut. Melalui analisis video, data statistik, dan teknologi pemantauan, jurulatih dan atlet boleh memeriksa setiap aspek permainan mereka, membolehkan mereka membuat penyesuaian yang diperlukan.
Selain itu, ia membolehkan atlet untuk memahami dengan lebih baik bagaimana mereka berfungsi semasa bersukan dan apa yang perlu ditingkatkan. Contohnya semasa perlawanan sedang berlangsung, penganalisis prestasi mendapati pasukan lawan banyak membuat serangan di sebelah kiri padang dan memberikan data tersebut kepada jurulatih supaya jurulatih boleh membuat perubahan taktikal dan strategi untuk menangani masalah tersebut.
Dengan pemahaman yang lebih baik tentang strategi lawan, pasukan dapat mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk perlawanan dan meningkatkan peluang untuk menang.
Ini adalah apa yang dipraktikkan di dalam beberapa pasukan bola sepak Liga Super dan pasukan pelapis kita dan ia memberikan impak yang baik. Pasukan negeri Perak dan Selangor adalah antara pasukan Liga Super yang terawal melaksanakan analisis prestasi beberapa musim yang lepas. Begitu juga dengan pasukan bola sepak pelapis kita di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang turut menggunakan analisis prestasi sebagai instumen untuk membantu menaikkan mutu permainan mereka.
Sayangnya tidak semua pasukan bola sepak Liga Super dan sukan-sukan lain memanfaatkan khidmat analisis prestasi ini sepenuhnya. Implementasi analisis prestasi di luar negara dibuat dengan lebih intensif dan malah diwajibkan untuk setiap sukan, jadi kita juga tidak boleh ketinggalan di dalam aspek ini kerana ia sudah menjadi satu keperluan.
Kita mempunyai banyak graduan sains sukan yang boleh memberikan khidmat ini, jadi kita boleh menggunakan mereka ini dengan sebaik-baiknya. Sayangnya graduan sains sukan di luar sana tidak diberikan peluang untuk menonjolkan diri dan menunjukkan bakat, dan banyak di antara mereka yang terpaksa berkerja di luar bidang.
Sudah tiba masanya untuk organisasi, kelab dan persatuan sukan melaksanakan inisiatif ini sebaik-baiknya dengan mengambil kerja graduan sains sukan untuk melaksanakan instrumen analisis prestasi bagi kelangsungan dan pembangunan sukan sendiri.
Kesimpulannya, analisis prestasi bukan sahaja alat untuk memeriksa prestasi masa lalu tetapi juga sebagai panduan untuk masa depan. Dalam era sukan moden, di mana perbezaan kejayaan menjadi sangat tipis, instrumen ini adalah kunci untuk membina atlet yang lebih baik, lebih bijak, dan lebih cekap.
Percayalah, analisa prestasi ini memberi impak yang besar kepada prestasi sukan dan kita perlu maksimumkan ia sebaik-baiknya.

* Artikel ini adalah tulisan Dr Norasrudin Sulaiman, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Performance Analysis #analisis prestasi #prestasi atlet #prestasi sukan
;