Analisis lawan bekal keyakinan Johnathan ke Olimpik

Bernama
Jun 24, 2024 23:04 MYT
Johnathan berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan beliau dalam usaha melakukan sasaran lebih tepat pada penampilan keduanya di pentas berprestij itu kelak. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Penembak negara Johnathan Wong menjalankan analisis terhadap kemampuan penembak lain yang bakal bersaing dalam acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris 2024, bulan depan.
Pembidik berusia 31 tahun itu berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan beliau dalam usaha melakukan sasaran lebih tepat pada penampilan keduanya di pentas berprestij itu kelak.
"Saya perlu tahu siapa pencabar dari segi ranking mereka dan pertandingan apa disertai mereka. Dari situ kita tahu apa sasaran yang boleh dicapai.
"Saya juga boleh cuba memperbaiki prestasi bersandarkan analisis itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Johnathan antara atlet Malaysia terawal layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tempat keempat acara 10m air pistol di Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan pada Oktober 2023.
Ia akan menjadi penampilan kedua atlet kelahiran Melaka itu selepas penampilan sulungnya di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.
Sebanyak 21 atlet negara telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 setakat ini, membabitkan lapan jenis sukan iaitu terjun, memanah, badminton, berbasikal, golf, pelayaran, menembak dan angkat berat.
Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
-- BERNAMA
#badminton #Sukan Olimpik Paris 2024 #air pistol #Penembak
;