Anak Najib nafi tanding MOM berkait politik

Astro Arena
Ogos 15, 2015 01:32 MYT
Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia Mohd Nazifuddin Mohd Najib memberikan kata-kata semangat kepada pasukan negara yang akan menyertai Kejohanan Taekwondo 2015 WTF ke-2. - Foto Bernama
Anak perdana menteri, Mohd Nazifuddin Mohd Najib tidak mahu menggunakan aura bapanya untuk merebut jawatan naib presiden pada pemilihan barisan kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 22 Ogos ini.
Mohd Nazifuddin, 32, calon paling muda dalam kalangan 10 pencabar merebut lima jawatan naib presiden, menyifatkan pencalonannya sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) badan sukan negara itu bukan bersifat politik.
Sebaliknya, katanya, peluang untuk bertanding ini mungkin dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam pembangunan sukan negara.
"Kalau orang muda tidak diberikan peluang, jadi tiada masa tepat untuk mereka menyertainya," katanya yang baru setahun memegang jawatan Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia (TM).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad taekwondo negara yang akan menyertai Kejohanan Kadet Dunia Kedua di Wisma MOM di sini, pada Jumaat.
Mohd Nazifuddin berkata walaupun baru berkecimpung dalam dunia sukan tetapi secara peribadi beliau mempunyai hubungan rapat dengan persatuan sukan sejak dahulu lagi.
TM akan menghantar tiga peserta remaja iaitu Nur Abilla Atillia Sabri, Siti Sara Wardina Sheikh Ibrahim dan Imam Roif Syahadat ke kejohanan itu di Muju, Korea Selatan, dari 20 hingga 27 Ogos ini.
Pada pemilihan MOM bagi penggal 2015-2017, semua jawatan akan dipertandingkan dengan presidennya Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dicabar selepas 17 tahun oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara penyandang Tan Sri Mohammad Noor Abdul Rahim dan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
#Majlis Olimpik Malaysia #Mohd Nazifuddin Mohd Najib #MOM