Anak Kelantan dinobat 10 terbaik dunia bola sepak gaya bebas

Sinar Harian
Oktober 14, 2023 16:30 MYT
Zulhilmi mengharumkan nama Malaysia selepas menyertai pertandingan peringkat dunia di Republich Czech pada Ogos lalu. - Gambar/ Sinar Harian
ANAK kelahiran Kelantan, dari Kampung Manal, Tanah Merah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai 10 individu terbaik dunia bagi sukan bola sepak gaya bebas.
Zulhilmi Zuaswa, 20, pelajar Diploma Pengurusan Sukan Kolej Poly-Tech MARA, Bangi itu berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas menyertai pertandingan peringkat dunia di Republich Czech pada Ogos lalu.
Lebih membanggakan lagi beliau juga dinobatkan sebagai pemain terbaik pada kedudukan 32 di dunia daripada ribuan pemain bola sepak gaya bebas yang ada.
Menurutnya, minat terhadap sukan itu mula berputik ketika berusia 13 tahun dan mempelajarinya sendiri melalui YouTube.
Ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu, asalnya ia merupakan seorang pemain bola sepak namun selepas mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kaki dia mengambil keputusan berundur.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama Al-Ihsan, Tanah Merah itu mencari alternatif lain untuk membolehkannya melepaskan rindu pada bola sepak dengan menyertai gaya bebas tersebut.
"Dari situlah saya menemui bola sepak gaya bebas ini, dan mula belajar sendiri melalui media sosial sehinggalah pandai.
"Bakat saya mula dicungkil pada tahun 2018 ketika berusia 15 tahun apabila memenangi tempat ketiga pertandingan ini yang diadakan di Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang di sini, pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Zulhilmi telah membuat persembahan di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, pada tahun 2018 juga beliau muncul juara Redbull Qualifier Malaysia Freestyle Football Championship.
Ujar beliau yang sedang menjalani latihan industri di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan itu, kemenangan tersebut telah menerbangkannya ke Poland mewakili negara untuk pertandingan peringkat dunia.
"Cita-cita saya adalah untuk mengembangkan lagi sukan ini kerana di Malaysia hanya ada sekitar 200 pemain bola sepak bebas.
"Sebagai anak jati Kelantan, sudah tentu menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai bakat dari negeri ini yang bakal dicungkil," katanya. - Sinar Harian
#Anak Kelantan #Zulhilmi Zuaswa #bola sepak gaya bebas #antarabangsa
;