Amy Kwan ambil keputusan untuk bersara

Astro Arena
Julai 29, 2020 08:17 MYT
Amy (kiri) dan Sie Yan. Setelah berjuang lebih empat tahun bersama, sudah tentu perasaan rindu tersingkap di dalam jiwa namun persahabatan yang terjalin akan kekal buat selamanya. - Foto Astro ARENA/Fail
PERMOHONAN persaraan bintang gimrama negara, Amy Kwan, akhirnya terjawab dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan gambaran bahawa keputusan rasmi akan diumumkan kelak.
Bagi atlet yang ingin bersara, mereka hanya perlu mengemukakan surat kepada MSN dan juga persatuan, kemudian akan terlibat dengan perbincangan dalam memastikan fasa persaraan mereka berjalan lancar.
Difahamkan, Amy telah pun berjumpa dengan pihak MSN dan juga persatuan dalam membincangkan hala tujunya selepas persaraan.
Selain daripada itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, juga menyatakan bahawa setiap atlet yang akan melalui proses persaraan boleh memohon bantuan daripada Malaysian Athlete Career & Education (MACE), dalam memperhalusi transisi itu seperti bantuan pembelajaran, kejurulatihan dan sebagainya.
"Kami telah menjalani perbincangan bersama Amy, jurulatih dan pihak persatuan. Amy juga kini telah menamatkan pengajiannya dan sudah bersedia untuk memikirkan kerjaya selepas bersara sebagai seorang atlet," katanya.
Sementara itu, rakan sepasukan Amy, Koi Sie Yan, menyatakan mereka pernah berbincang tentang persaraan dan menganggap keputusan yang dibuat Amy adalah yang terbaik buat dirinya.
"Saya telah bertanya dengan Amy mengenai perkara ini. Saya berasakan dia telah mencapai sasaran untuk meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel. Berlatih bersamanya telah membenarkan kami menghasilkan hubungan persahabatan yang sangat rapat, saya ucapkan semoga berjaya buat Amy," kata Sie Yan.
Setelah berjuang lebih empat tahun bersama, sudah tentu perasaan rindu tersingkap di dalam jiwa namun persahabatan yang terjalin akan kekal buat selamanya. Bagi Amy, impiannya tercapai saat emas digenggam di bumi Australia ketika bersaing dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
#Amy Kwan #atlet #Australia #bantuan #bersara #gimrama #Jefri Ngadirin #keputusan rasmi #Koi Sie Yan #MACE #Majlis Sukan Negara #Malaysian Athlete Career & Education #MSN #perbincangan #persahabatan #pingat emas #Sukan Komanwel #surat #transisi
;