Amsyar yakin penerjun negara tetap ke Tokyo

Astro Arena
September 3, 2019 21:56 MYT
Amsyar yakin bekas rakan sepelatihnya mampu merebut slot yang ditawarkan.
PERSARAAN Ahmad Amsyar Azman, tidak menjejaskan peluang Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3 meter individu papan anjal ekoran kehadiran dua penerjun lelaki berkualiti.
Penerjun lelaki negara diyakini masih berpeluang layak ke Olimpik Tokyo tanpa Amsyar, tatkala Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei akan menghadapi Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil bermula Jumaat ini yang menawarkan tiket ke Jepun bagi pemenang pingat emas acara individu.
Amsyar yakin bekas rakan sepelatihnya itu mampu merebut slot yang ditawarkan.
"Insya-Allah, ia mampu dilakukan. Kalau tengok dalam senarai, atlet yang ada juga hebat. Jadi, peluang untuk ke Olimpik tiada masalah, tidak kira untuk lelaki atau wanita. Selamat maju jaya buat mereka," katanya.
Amsyar beraksi sebagai penerjun utama 3m individu papan anjal sejak beberapa tahun lalu terutama ketika Olimpik Rio 2016.
Bagaimanapun, dia gagal ke final selepas melakukan kesilapan belly flop dan kini, tumpuan penerjun kelahiran Perlis itu terarah untuk menamatkan pengajian di Universiti Malaya.
"Saya mahu habiskan pengajian dan mencari pekerjaan untuk kehidupan seterusnya. Kehidupan sebagai atlet, mungkin saya sudah capai tahap maksimum."
#Ahmad Amsyar Azman #Malaysia #Olimpik Tokyo #penerjun negara #Sukan Olimpik
;