Amri Yahyah pilihan Kim Swee jadi kapten Harimau Malaysia

Astro Arena
September 1, 2016 17:59 MYT
Kim Swee mengakui Amri merupakan calon terbaik untuk memikul tugas besar itu berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa.
JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee, mengumumkan pemain veteran, Amri Yahyah, dilantik selaku kapten skuad Harimau Malaysia yang baru menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A menentang Indonesia di Solo 6 september ini.
Amri mengetepikan dua calon, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Fahmi Che Mat yang masing-masing dilantik selaku penolong ketua pasukan.
Perlantikan itu dibuat susulan kapten skuad negara yang terdahulu, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd Radzak mengumumkan persaraan.
Kim Swee mengakui Amri merupakan calon terbaik untuk memikul tugas besar itu berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa.
"Amri merupakan salah seorang pemain senior yang cukup konsisten dalam skuad kebangsaan.
"Sebagai pemain senior, dia menunjukkan ciri-ciri sebagai pemimpin.
"Ini penting kerana ketika ini ramai pemain muda dalam pasukan kebangsaan.
"Sebelum ini, Amri pernah menjadi ketua pasukan ketika Malaysia menentang Timor Leste," jelas Kim Swee.
Pengendali berusia 46 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan kekal sebagai kapten skuad negara dalam tempoh lama, terutamanya untuk kempen Piala AFF Suzuki, hujung tahun ini.
"Kalau Amri menunjukkan prestasi yang konsisten sepertimana dalam pasukan kebangsaan.
"Walaupun kita nampak kebelakangan ini Hazwan (Bakri) kerap menjaringkan gol, tetapi jika kita melihat sejarah, Amri juga merupakan salah seorang penjaring gol yang konsisten walaupun bermain dalam 20 atau 15 minit."
#Amri Yahyah #bola sepak #Harimau Malaysia #Kapten Harimau Malaysia #Ong Kim Swee
;