Amirudin mahu kemelut landa FAS segera diselesaikan

Astro Arena
Oktober 27, 2018 06:54 MYT
AMIRUDIN: Saya harus membuat perbincangan dengan pihak terbabit dan berharap kemelut ini dapat diselesaikan, mengelakkan masalah dalam keputusan tertentu seperti penggunaan stadium, pusat latihan atau kewangan. - Astro ARENA
EKORAN kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Menteri Besar, Amirudin Shari, menggesa agar semua pihak tidak melanggar titah yang dikeluarkan presiden badan itu, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin, yang mungkin menyebabkan implikasi lagi buruk.
Walaupun sebelum ini Tengku Amir sudah bertitah enggan mengadakan kongres luar biasa (EGM) dalam badan induk itu, namun beberapa ahli gabungan tetap berdegil.
Amirudin yang pernah menjawat jawatan presiden FAS bagi musim 2016 menasihatkan ahli gabungan berkenaan agar mengambil serius titah dikeluarkan Tengku Amir untuk mengelakkan perkara yang membawa kemudaratan kepada badan induk itu.
Sebelum ini, Selangor terpaksa beraksi di luar Stadium Shah Alam dan dana bantuan kewangan yang mereka terima juga berdepan situasi ditarik daripada kerajaan negeri.
"Saya harus membuat perbincangan dengan pihak terbabit dan berharap kemelut ini dapat diselesaikan, mengelakkan masalah dalam keputusan tertentu seperti penggunaan stadium, pusat latihan atau kewangan.
"Ia akan diputuskan kemudian," kata Amirudin yang ditemui ketika majlis makan malam sambutan kejayaan skuad Selangor United yang memenangi saingan Liga FAM 2018.
Selangor United akan beraksi di pentas Liga Perdana musim depan dan mereka kini dalam perangkaan memantapkan pasukan dengan mencari beberapa pemain import.
"Kami telah berbincang dan berasa ada keperluan untuk membawa masuk pemain-pemain import . Kami juga telah mengenal pasti beberapa pemain import untuk diketengahkan bagi musim 2019, mungkin dari Mesir atau negara Asia yang lain," kata Presiden Selangor United, Mohd Firdaus Mohamed.
#Amirudin Shari #bantuan kewangan #bola sepak #dana #EGM #FAM #FAS #liga FAM #Liga Perdana #Menteri Besar #Mohd Firdaus Mohamed #pemain import #presiden FAS #Selangor #Selangor United #stadium shah alam #Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin
;