Amir sedia tawar diri jadi calon Presiden KAFA
Astro Arena
Ogos 22, 2017 11:31 MYT
Ogos 22, 2017 11:31 MYT
RAYUAN Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor, kepada individu yang berminat mengambil alih kepimpinan baharu persatuan dan merancang pembangunan bola sepak negeri secara lebih sistematik disambut Pengerusi Kumpulan Secretleaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan Ibrahim dalam satu sidang media, di Kota Bharu, petang Isnin.
Tanpa memberi sebarang syarat, berbekalkan kekuatan kewangan yang dimiliki dan pengalaman luas dalam bidang perniagaan, Amir Ramadzan muncul menyatakan hasrat untuk menerajui KAFA bagi penggal 2017 hingga 2021.
“Apabila Setiausaha Agung KAFA (Datuk Ismail) membuat tawaran secara terbuka, saya sebagai anak jati Kelantan yang sayangkan bola sepak ingin menawarkan diri dan kepakaran bagi membantu persatuan ini tanpa sebarang syarat.
“Saya sudah melakukan pengiraan termasuk isu kewangan dan hutang lapuk KAFA yang ada dan memberi jaminan skuad The Red Warriors (TRW) bakal memulakan musim baru tanpa ada sebarang masalah,” katanya.
Ditanya mengenai gandingan yang bakal diwujudkan, Amir Ramadzan menjelaskan dia mahu berkerjasama dengan semua pihak demi mengembalikan semula imej dan status TRW.
“Saya ingin mengajak semua pihak untuk bersama-sama mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan dan saya yakin masih banyak penaja di luar sana yang sudi menghulurkan tajaan,” katanya.
Untuk rekod, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan Kongres Agung Tahunan Kali ke-63 pada pertengahan September, depan dan mempelawa calon yang berkelayakan untuk memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.
Kongres yang akan dihadiri oleh perwakilan dari Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan lain-lain ahli gabungan bakal menjadi tumpuan peminat setia The Red Warriors (TRW) kerana akan memilih presiden baharu yang akan memimpin KAFA bagi empat tahun akan datang.
#Amir Ramadzan Ibrahim
#bola sepak
#calon
#Ismail Md Noor
#KAFA
#Kelantan
#penaja
#Persatuan Bola Sepak Kelantan
#presiden
#The Red Warriors