Amer Akbar, Eddyna Nasuhar juarai Kejohanan BMX Kebangsaan 2023
Bernama
Julai 2, 2023 05:15 MYT
Julai 2, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba BMX daripada pasukan Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar berjaya menebus kekecewaan tahun lepas apabila muncul juara kategori elit lelaki Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional, Negeri Sembilan semalam.
Beliau berkata kejayaannya menyarung jersi kebangsaan selaku 'sang juara' cukup istimewa selepas menduduki tempat kelima pada edisi lepas susulan insiden kemalangan yang dialami bersama rakan sepasukannya, Sany Syahmi Mohd Shafiee.
"Alhamdulillah, rezeki saya tahun ini dapat menang juara kebangsaan. Tahun lepas bukan rezeki saya untuk bergelar juara selepas berlanggar dengan Sany Syahmi di selekoh kedua terakhir ketika menuju garisan penamat.
"Sasaran saya tahun ini memang nak raih gelaran juara kebangsaan, sarung jersi putih selaku juara dan catat masa terbaik. Syukur, saya amat berpuas hati dengan prestasi pada perlumbaan akhir hari ini," katanya menerusi kenyataan semalam.
Terdahulu, Amer Akbar merekodkan 29.564 saat (s) untuk merangkul emas diikuti rakan sepasukannya Sany Syahmi di tempat kedua (30.239s), manakala Syed Irfan Danish Syed Anuar daripada pasukan Johor di kedudukan ketiga (31.975s).
Beliau selepas ini akan mengalihkan fokus untuk menghadirkan kilauan pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Filipina yang bakal berlangsung pada 15-16 Julai ini.
Sementara itu, pelumba pasukan ECO MTB, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengungguli kategori elit wanita sekali gus mempertahankan kejuaraan dalam kategori itu pada edisi ini.
Eddyna Nasuhar menewaskan dua pencabar terdekatnya, Siti Shahirah Hashim mewakili Terengganu Hanelang yang meraih tempat kedua dan Puteri Balqis Masek daripada pasukan Johor di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui bukan mudah memperoleh kemenangan tersebut apabila menerima saingan sengit daripada pencabarnya pada perlumbaan final kali ini berbanding ketika muncul juara kebangsaan tahun lepas.
"Sebelum perlumbaan final, saya tidak letak harapan tinggi untuk menang kerana sedar bakal berdepan beberapa pelumba handalan. Saya tahu kekuatan setiap pelumba kerana mereka juga kawan lama saya.
"Tahun ini mereka buat comeback. Jadi perlumbaan final hari ini memang cukup mencabar dan sengit sebab semua pelumba yang bertanding adalah fighter. Saya hanya cuba buat yang terbaik sehingga tamat perlumbaan," jelasnya.
-- BERNAMA