Amarjit Singh ulangi pencapaian bapanya terajui PKBM

Bernama
Oktober 12, 2024 17:03 MYT
Amarjit menang perebutan tiga penjuru pada Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) bagi penggal 2023-2026 yang diadakan di Melaka. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Amarjit Singh mengulangi pencapaian bapanya Tan Sri Darshan Singh apabila menang jawatan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menang perebutan tiga penjuru pada Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) bagi penggal 2023-2026 yang diadakan di Melaka.
Mengikut kenyataan daripada PKBM, beliau yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden dan Pemangku Timbalan Presiden memperolehi 35 undi mengatasi Yunus Ibrahim yang menerima 23 undi, manakala dua undi disahkan rosak.
PKBM berkata Pemangku Presiden sebelum ini, Mazlan Ab Jail tidak menerima sebarang undi daripada perwakilan yang hadir, malah Persatuan Berbasikal Terengganu juga tidak menghantar perwakilan bagi menghadiri pemilihan berkenaan.
Mazlan telah menghantar surat pembatalan Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) berkenaan kerana menganggapnya bertentangan dengan Perlembagaan PKBM, kata kenyataan itu.
"Bagaimanapun, Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) diteruskan selepas Exco PKBM sebulat suara setuju bahawa mesyuarat itu tetap patuh kepada peruntukan perlembagaan PKBM dan wajar diteruskan. Mazlan tidak hadir pada mesyuarat itu," kata PKBM.
Sementara itu, Amarjit berkata tugas terbesarnya adalah mengekalkan suasana harmoni dalam badan induk kebangsaan berkenaan serta memperkasakan hubungan antara PKBM dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
"Saya akan memberikan keutamaan terbesar untuk perkara ini kerana suasana harmoni sangat penting kepada saya dan semua Ahli Exco, Ahli Majlis dan Ahli Gabungan Negeri," katanya.
Beliau juga akan menulis surat kepada KBS bagi mengembalikan bantuan kewangan kepada PKBM, khususnya untuk disiplin lebuh raya menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand selain berbincang dengan wakil Persatuan Berbasikal Negeri Sabah (PBNS) untuk menghidupkan kembali persatuan itu.
Amarjit bukan nama asing dalam kancah sukan berbasikal kebangsaan dan antarabangsa apabila terpilih sebagai Ahli Mesyuarat Eksekutif UCI dan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) sejak 2017.
Kerusi Presiden PKBM menjadi kosong selepas Datuk Abu Samah Abd Wahab yang memegang jawatan itu sejak 1990 meninggal dunia pada 28 Nov lepas akibat kanser prostat.
Darshan Singh pernah menjadi Presiden PKBM daripada 1988 hingga 1990 selepas melakukan kejutan besar menewaskan Tan Sri Elyas Omar yang pada ketika itu merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#Amarjit Singh #Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #Mesyuarat Agung Khas #PKBM
;