Amarjit dilantik Setiausaha Agung ACF pertama
Bernama
Mei 10, 2023 19:15 MYT
Mei 10, 2023 19:15 MYT
PHNOM PENH: Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill dipilih sebulat suara sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) pada Kongres ACF 2023 semalam.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dipilih sebagai Setiausaha Agung ACF pertama selepas Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) diberikan nafas baharu dua hari lepas.
Seorang lagi Naib Presiden PKBM Norazman Abu Samah turut dipilih sebulat suara pada Kongres ACF 2023 bagi menganggotai Jawatankuasa Pengurusan ACF bagi penggal 2023-2027.
Amarjit menerusi kenyataan daripada PKBM, berkata pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung ACF membuktikan kepercayaan terhadap Malaysia oleh perwakilan dari ASEAN yang mengharapkan sentuhan pentadbiran dan memastikan arah tuju baharu ACF.
"Saya menerima pelantikan ini dengan hati terbuka. Dunia berbasikal ASEAN sebenarnya mempunyai ramai personaliti hebat dari Thailand, Filipina dan Indonesia. Saya akan berusaha untuk memainkan peranan penting untuk transformasikan sukan berbasikal di ASEAN," katanya selepas Kongres ACF 2023 di Siam Reap, Kemboja semalam.
Amarjit, yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan Kongres ACF 2023 turut meluluskan perlembagaan, logo dan nama baharu ACF secara sebulat suara.
Semua anggota ACF iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, Indonesia, Singapura, Timor Leste, Laos, Kemboja, Filipina, Vietnam dan Brunei menghadiri Kongres ACF 2023.
Terdahulu, Pemilihan ACF 2023 menyaksikan enam Ahli Jawatankuasa ACF dipilih iaitu Ekachai Savetsomphob (Thailand), Nou Chamreoun (Kemboja), Dr Hongkham Souvannavong (Laos), Atty Aveleo Sumagui (Filipina), Norazman (Malaysia) dan Vu Nguyuen Vu (Vietnam) bagi penggal 2023-2027.
Jeneral Decha Hemkasri dipilih sebagai Presiden ACF baharu menggantikan Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab yang melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada tokoh berbasikal dari Thailand itu.
Abu Samah memegang jawatan Presiden ACA sejak 2001 selepas mengasaskannya bersama seorang lagi tokoh berbasikal Thailand Jeneral A Prasad.
-- BERNAMA