Alves tinggalkan penjara selepas lunas ikat jamin RM5.12 juta
Sinar Harian
Mac 26, 2024 14:30 MYT
Mac 26, 2024 14:30 MYT
PESALAH kes rogol yang juga bekas pemain Brazil, Dani Alves keluar dari penjara di Barcelona selepas membayar ikat jamin 1 juta euro (RM5.12 juta) ditetapkan mahkamah sementara menunggu proses rayuan.
Bekas pemain berusia 40 tahun itu berada dalam penjara sejak ditangkap pada Januari 2023 atas dakwaan merogol seorang wanita muda di Barcelona pada 31 Disember 2022.
Sambil ditemani peguam, Ines Guardiola, Alves tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika meninggalkan penjara Brians 2 di San Esteban Sasroviras dekat Barcelona.
Dia kemudian meninggalkan pekarangan penjara dengan menaiki kereta putih tanpa mempedulikan kumpulan wartawan dan penunjuk perasaan yang berkumpul berhampiran pintu penjara tersebut.
Bekas pemain Barcelona itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun setengah bulan lepas dan pasukan peguamnya kemudiannya bertindak meneruskan proses rayuan.
Ketika barisan peguam Alves cuba membuktikan dia tidak bersalah dan dibebaskan kerana proses mungkin mengambil masa berbulan-bulan, sambil pendakwa raya pula mahu hukumannya ditambah kepada sembilan tahun.
Mahkamah bagaimanapun pada Rabu lepas membuat tindakan luar jangka apabila bersetuju untuk membebaskan Alves dengan bersyarat.
Dia perlu membayar wang ikat jamin, menyerahkan pasport Sepanyol dan Brazilnya, selain kekal di Sepanyol serta melaporkan diri di mahkamah setiap minggu.
Keputusan mahkamah membenarkan Alves diikat jamin turut menarik perhatian Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
"Kita tidak boleh berdiam diri dengan ketidakadilan ini. Hubungan seks antara dua orang perlu mendapat persetujuan bersama, jika tidak ia adalah satu jenayah," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian