Allegri tertidur ketika Pjanic dilayang kad merah
Astro Arena
Mac 4, 2019 12:05 MYT
Mac 4, 2019 12:05 MYT
PENGENDALI Juventus, Massimiliano Allegri, mendakwa dia tertidur ketika pasukannya mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Napoli awal pagi tadi tatkala tindakan itu hampir memberi tamparan kepada juara bertahan Serie A itu.
Kesan daripada layangan dua kad merah serta satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan membuatkan penonton di Stadio San Paolo lebih banyak duduk.
Miralem Pjanic membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma selepas penjaga gol Napoli, Alex Meret, melakukan kekasaran ke atas Cristiano Ronaldo.
Emre Can menggandakan kelebihan buat pelawat sebelum rehat tetapi Pjanic mencuri tumpuan apabila dilayangkan kad kuning kedua akibat bola terkena tangannya di awal babak kedua.
Lorenzo Insigne melakukan hantaran lintang untuk disudahkan Jose Callejon bagi merapatkan jurang tetapi melakukan sepakan penalti yang terkena palang pada minit ke-84, sekali gus memberikan Juve melebarkan rekod tanpa kalah dalam Serie A dan menambah kelebihan kepada 16 mata di puncak liga.
Selepas perlawanan, Allegri memberitahu Sky Sport bahawa dia tersilap tidak membawa Pjanic keluar ketika mula menerima kad kuning pertama akibat kekasaran terhadap Callejon.
"Saya tertidur. Sepatutnya saya keluarkan dia selepas kad kuning pertama," ujar Allegri.
"Kad kuning kedua ke atas Pjanic membuatkan kami hilang kawalan. Kami membiarkan Napoli bangkit dan seluruh stadium kembali percaya kepada mereka. Malah, kami mensia-siakan peluang ketika mendahului 2-1.
"Jumlah 16 mata adalah sesuatu yang penting tetapi kami perlu menunggu sehingga perkiraan yang tepat untuk menjulang trofi liga.
"Kini, ayuh rehat dan menuju ke aksi berdepan Udinese dan Atletico Madrid. Kami mungkin boleh lakukan lebih baik."
Sesetengah ulang tayang memaparkan sentuhan Meret dan Ronaldo begitu sedikit tetapi Allegri tidak meragui keputusan yang dilakukan pengadil.
"Seperti apa yang orang ramai beritahu saya, ia adalah satu kesalahan," tambah Allegri.
"Ia dengan niat dan saya rasa keputusan itu bagus. Saya rasa pengadil menjalankan tugas dengan baik."