Allardyce sedia beri Barkley peluang beraksi
Astro Arena
Disember 23, 2017 13:00 MYT
Disember 23, 2017 13:00 MYT
RUNDINGAN kontrak baru Ross Barkley yang masih samar tidak akan menghalang Sam Allardyce daripada menurunkan tonggak England itu sebaik dia pulih bulan depan, menurut pengurus Everton itu.
Barkley belum meraih kesempatan untuk beraksi musim ini berikutan dilanda hamstring jangka panjang, malah dia juga dikaitkan dengan perpindahan.
Kontrak perancang Everton itu akan tamat pada akhir musim ini dan dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma andai tidak bersetuju dengan perjanjian baru yang ditawarkan.
Barkley menolak tawaran baru musim lalu dan hampir menyertai Chelsea pada Ogos lalu sebelum kecederaan menyebabkan hajat itu tidak tertunai.
Allardyce mengakui Barkley kini mempunyai kuasa untuk membuat pilihan sebelum mencadangkan pemain itu mungkin akan berhijrah pada bulan depan, begitupun pengurus itu mengatakan "pintu selalu terbuka" sebelum mereka memuktamadkan keputusan.
"Ross mengalami sedikit kesukaran dalam latihan dan saya fikir jika semuanya berjalan dengan cara seperti itu, dia akan kembali pada awal bulan depan," kata Allardyce kepada pemberita dalam sidang media menjelang kunjungan ke Chelsea, hari ini.
"Saya tidak fikir keputusan berada di tangan kami pada saat ini, ia berada di tangan Ross. Dia tahu pintu sentiasa terbuka jika dia mahu bercakap tentang untuk kekal.
"Ia bukan satu kes pintu tertutup, dia akan menentukan hala tujunya, siapa tahu apa yang akan berlaku pada bulan depan?"
Everton telah dikaitkan dengan beberapa pemain menjelang pembukaan jendela perpindahan Januari, namun pemain Sunderland, Lamine Kone -- yang pernah di bawah tunjuk ajar Allardyce di Stadium of Light -- sudah boleh menjangkakan tidak akan menerima panggilan daripada bekas bosnya itu.
"Tidak pada masa ini," kata Allardyce ketika ditanya kemungkinan langkah perpindahan itu.
"Dia adalah salah seorang pemain yang telah mereka gilap. Dia membantu Sunderland kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dua musim lalu, sejak itu saya tidak pasti apa yang telah berlaku dalam kerjayanya.
"Itu menimbulkan keraguan mengenai keupayaannya untuk mengekalkan tahap prestasi, saya tidak pasti jika saya berminat atau tidak, dia adalah pemain bola sepak dan pemain yang hebat semasa saya di sana."
#bola sepak
#Chelsea
#England
#Everton
#kontrak
#perpindahan
#Ross Barkley
#rundingan
#Sam Allardyce