All England: Zii Jia tewas kepada Viktor Axelsen di separuh akhir
Bernama
Mac 14, 2020 21:27 MYT
Mac 14, 2020 21:27 MYT
CABARAN negara di Kejohanan Badminton Terbuka All England 2020 berakhir, selepas pemain perseorangan negara Lee Zii Jia yang sebelum ini cemerlang hingga layak ke separuh akhir, tewas kepada pemain Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan pada Sabtu.
Dalam perlawanan separuh akhir itu, Zii Jia tewas 21-17, 13-21, 19-21 kepada Viktor, di Arena Birmingham, England.
Pemain ranking ke-13 dunia itu berjaya mendahului pemain pilihan kedua kejohanan, apabila menang set pertama, namun gagal mengekalkan penguasaan itu, apabila tewas dalam dua lagi set.
Semalam, pemain berusia 21 tahun itu yang pertama kali menyertai kejohanan berprestij itu, mara ke kelompok empat pemain terbaik, selepas mengalahkan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China pada perlawanan suku akhir.
Pada Rabu, pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu, menewaskan pemain nombor enam dunia Jonatan Christie dari Indonesia, pada perlawanan pusingan pembukaan All-England yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1.1 juta (RM4.705 juta).
Kali terakhir Malaysia muncul juara All England dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2017.
-- BERNAMA