All-England: Zii Jia benam nombor satu dunia Momota, layakkan diri ke separuh akhir
Astro Awani
Mac 19, 2021 21:11 MYT
Mac 19, 2021 21:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menundukkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun dan sekali gus melayakkan diri untuk mara ke pusingan separuh akhir All-England.
Zii Jia menang bergaya dengan mata 21-16, 21-19 dalam aksi 54 minit yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom pada petang Jumaat (waktu tempatan).
Pemain berusia 22 tahun kelahiran Kedah ini akan bertemu dengan pemain Belanda, Mark Caljouw dalam pusingan sepauh akhir pada Sabtu.
Buat Zii Jia, ini adalah pusingan separuh akhir All-England kali kedua buat dirinya selepas berkongsi pentas dengan juara Viktor Axelsen dari Denmark pada edisi sebelum ini.
Bagi Momota, ini merupakan pertandingan antarabangsa pertama buatnya selepas berjaya meraih piala kejuaraan dalam Badminton Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil pada Januari 2020 lalu.
Mark, yang berada di ranking ke-36 dunia, menyingkirkan pemain India, Lakshya Sen 21-17, 16-21, 21-17 pada perlawanan suku akhir.