All England: Perjalanan Zii Jia terhenti di separuh akhir

Faris Danial Razi
Mac 19, 2022 23:30 MYT
Pemain nombor tujuh dunia itu berhempas pulas dan hanya merekodkan kemenangan pada set kedua, iaitu dengan keseluruhan mata 21-13, 12-21, 21-19. - Foto AP
PERJALANAN jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di kejuaran All England terhenti di peringkat separuh akhir selepas dikalahkan pemain India, Lakshya Sen dalam perlawanan di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi.
Pemain nombor tujuh dunia itu berhempas pulas dan hanya merekodkan kemenangan pada set kedua, iaitu dengan keseluruhan mata 21-13, 12-21, 21-19.
Dengan taktikal yang lebih kemas, aksi yang lebih tenang berbanding sewaktu dalam set pertama, Zii Jia menundukkan pemain berusia 20 tahun itu dalam set kedua dengan 12-21.
Pada set penentuan, Zii Jia yang kini bergerak secara profesional dan dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya kelihatan bekerja lebih keras, namun tewas dengan pungutan mata 21-19.
Dengan itu, Lakshya Sen mungkin akan berentap dengan pemain Denmark, Viktor Axelsen atau pemain dari Taiwan, Chou Tien Chen apabila salah seorang daripada mereka melayakkan diri ke pusingan akhir.
Tahun lepas, Zii Jia melakar sejarah selepas buat pertama kali merangkul gelaran All England apabila berjaya menundukkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen pada aksi final.
Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan kali kedua di antara Zii Jia dan Lakshya Sen selepas berentap pada saingan Siri Antarabangsa India yang menyaksikan lawannya itu melakar kemenangan.
Lakshya Sen, yang juga pemain nombor 11 dunia itu sebelum ini juga telah menewaskan Axelsen dalam perlawanan Terbuka Jerman 2022.
#Lee Zii Jia #England #all england #Lakshya Sen #badminton
;