All England: Peng Soon-Liu Ying tumpas kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun

Bernama
Mac 20, 2021 04:46 MYT
Peng Soon-Liu Ying, pilihan ketiga kejohanan, jelas gagal menandingi kehebatan lawan apabila tewas dengan 21-14 di set pertama lagi. -Gambar fail
BIRMINGHAM: Beregu bukan pilihan dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo menundukkan beregu campuran Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, untuk mara ke final pertandingan badminton All England 2021 di Birmingham, Sabtu ini.
Peng Soon-Liu Ying, pilihan ketiga kejohanan, jelas gagal menandingi kehebatan lawan apabila tewas dengan 21-14 di set pertama lagi.
Di set kedua, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio itu nampak lebih agresif apabila mendahului lawan 11-3, sebelum pasangan dari Jepun bangkit mengejar sehingga mereka berkongsi kedudukan 20-20, dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 22-20.
Kini pasangan Yuki-Misaki menunggu keputusan perlawanan antara pasangan dari England Marcus Ellis-Lauren Smith dengan pasangan dari Jepun, Yuta Watanebe-Arisa Higashino dalam satu lagi perlawanan suku akhir yang akan berlangsung sebentar lagi (Ahad pagi waktu Malaysia).
Gandingan Peng Soon-Liu Ying muncul sebagai naib juara pada edisi 2017 selepas mereka ditundukkan oleh pasangan China, Lu Kai-Huang Ya Qiong, 18-21, 21-19, 21-16.
Kali terakhir Malaysia meraih kemenangan di Kejohanan All England adalah pada tahun 2017 ketika Datuk Lee Chong Wei menewaskan Shi Yu Qi dari China, 21-12, 21-10.
-- BERNAMA
#Yuki Kaneko #Misaki Matsutomo #Chan Peng Soon #Goh Liu Ying #All England 2021 #final pertandingan badminton #Beregu bukan pilihan
;