All England: Dua beregu negara terkandas di pusingan kedua
Bernama
Mac 16, 2023 23:06 MYT
Mac 16, 2023 23:06 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mara ke suku akhir kejuaraan All England 2023 tidak kesampaian selepas tewas di tangan juara bertahan, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia, pada Khamis.
Turun sebagai pilihan kelapan kejohanan, Yew Sin- Ee Yi terpaksa akur apabila tumpas straight set 18-21, 18-21 dalam aksi pusingan kedua itu yang berlangsung selama 44 minit di Arena Utilita Birmingham.
Muhammad Shohibul-Bagas, yang kini menghuni tangga ke-12 dunia, akan turun bertemu sama ada rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dalam saingan suku akhir esok.
Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mengalami nasib sama apabila ditundukkan pasangan ranking ke-16 dunia dan naib juara edisi 2021, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun, , 12-21, 21-11, 19-21.
Kekalahan itu adalah kali kedua berturut-turut pasangan campuran negara yang menduduki ranking keenam dunia, setelah tewas kepada beregu sama selepas Terbuka Perancis pada Oktober lepas.
Yuki-Misaki akan membuat perhitungan berdepan pilihan pertama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China, di suku akhir esok.
-- BERNAMA