'The Aligator' tidak sabar turun semula ke gelanggang

Bernama
Mac 9, 2021 07:00 MYT
Agilan kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengikuti kem latihan di Akademi Seni Bela Diri Campuran (MMA) Jackson Wink di Albuquerque, New Mexico. - Foto Instagram
KUALA LUMPUR: Jaguh welterweight ONE Championship Malaysia, Agilan 'The Alligator' Thani bakal memburu satu atau dua kemenangan selepas mengikuti latihan selama enam minggu di Amerika Syarikat.
Anak jati Sentul, Kuala Lumpur, berusia 25 tahun itu memberitahu Bernama bahawa beliau kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengikuti kem latihan di Akademi Seni Bela Diri Campuran (MMA) Jackson Wink di Albuquerque, New Mexico.
"Sebagai atlet seni bela diri, anda perlu terus belajar dan memperbaiki diri. Oleh sebab itu saya berusaha mendapatkan latihan setiap kali ada peluang terutama di Amerika Syarikat di mana acara MMA terkenal dan sentiasa mendapat perhatian.
Beliau berkata di akademi tersebut, beliau menjalani latihan di bawah bimbingan Greg Jackson dan Mike Winkeljohn yang terkenal melahirkan atlet seperti bekas juara bantamweight Ultimate Fighting Championship (UFC) Holly Holmdan bekas juara light-heavyweight UFC, Jon Jones.
Agilan menyifatkan sesi latihan di kem tersebut bukan mudah tetapi berbaloi selepas mempelajari pelbagai teknik dan tidak sabar untuk mengujinya pada pertarungan masa depan.
"Latihan di New Mexico pastinya berbeza sebab sebahagian daripadanya adalah latihan aras tinggi. Pada mulanya, saya rasa sukar. Saya rasa keadaan fizikal dan kecergasan saya sudah cukup baik untuk mengikuti sesi latihan aras tinggi tetapi tersilap.
"Saya mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan rentak latihan di akademi tersebut," katanya.
Selain pengalaman berlatih di akademi tersohor itu, Agilan turut berdepan dengan pandemik COVID-19 dan terpaksa dikuarantin selama dua minggu sebelum disahkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu.
Agilan berkata buat masa ini belum ada pertarungan tetapi berharap untuk beraksi pada Kejohanan Siri One Championship Malaysia menjelang pertengahan tahun ini.
"Saya tidak sabar untuk kembali dalam gelanggang...mungkin pada Jun atau Julai untuk mencipta semula siri kemenangan bagi menebus kekalahan terakhir sebelum ini. Bagi tahun ini, saya berharap untuk bersaing dalam satu atau dua pertarungan," katanya.
Agilan kini mencipta 10 kemenangan dan lima kalah dalam ONE Championship Malaysia dengan kekalahan terakhir di tangan Tyler McGuire, Disember lalu,
-- BERNAMA
#Mixed Martial Arts #Agilan 'The Alligator' Thani #Agilan Thani #seni bela diri campuran #Ultimate Fighting Championship #UFC #MMA #ONE Championship
;