Aliff cipta sensasi tumbangkan Shamil Adukhov pada pusingan pertama
Sinar Harian
Februari 8, 2025 12:15 MYT
Februari 8, 2025 12:15 MYT
Aliff hanya memerlukan 1 minit 10 saat untuk menewaskan lawannya itu secara 'knockout' (KO) pada pusingan pertama di Bangkok, Thailand. - Gambar/ Sinar Harian
ATLET Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sensasi apabila menumbangkan petarung dari Rusia, Shamil Adukhov dalam aksi One Fight Night 28 pada Sabtu.
Aliff hanya memerlukan 1 minit 10 saat untuk menewaskan lawannya itu secara 'knockout' (KO) pada pusingan pertama di Bangkok, Thailand.
Dalam pertarungan kategori cathcweight itu, Aliff nyata dilihat lebih bersedia berbanding Adukhov yang juga pendatang baharu dalam ONE Championship.
Kemenangan Aliff tercetus selepas dia menahan asakan daripada Adukhov sebelum melepaskan dua tumbukan ke bahagian kepala lawannya itu.
Dua tumbukan tersebut menyaksikan Adukhov tidak dapat bangkit untuk meneruskan perlawanan sekali gus memberikan kemenangan kepada Aliff.
Kejayaan itu juga menyaksikan dia melebarkan rekod kemenangan 7-2 dalam sembilan perlawanan sejak beraksi di bawah ONE Championship.
Malah, lebih membanggakan, lima kemenangan termasuk pada aksi hari ini diperolehi olehnya melalui KO. - Sinar Harian