Ali Rustam dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif WKF
Bernama
Oktober 28, 2022 05:07 MYT
Oktober 28, 2022 05:07 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Tun Mohd Ali Rustam dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) dari 2022 hingga 2026.
WKF dalam satu kenyataan semalam berkata, pemilihan itu dibuat pada sesi pleno menjelang Kejohanan Kadet, Remaja dan Bawah 21 (B-21) Dunia di Konya, Turkiye.
WKF juga mengesahkan Antonio Espinos dari Sepanyol sebagai presidennya dan Jose Garcia Maanon dari Argentina selaku naib presiden pertama untuk persekutuan itu dan diikuti Naseer Alrazooqi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk naib presiden kedua dan Bechir Cherif dari Tunisia sebagai naib presiden ketiga.
Badan pentadbir karate dunia itu juga melantik Toshihisa Nagura dari Jepun sebagai Setiausaha Agung.
"Sebagai tambahan kepada 17 wakil yang dilantik oleh Kongres WKF pada Selasa, dua lagi ahli dilantik dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Eksekutif hari ini.
"Penyertaan Samantha Desciderio dari Mexico and Sarah Wennestrom dari Sweden selaku ahli dilantik ke dalam badan pembuat keputusan dialu-alukan," katanya.
Sementara itu, Espinos mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang tidak lagi bersama WKF di atas usaha dan sumbangan kepada kemajuan sukan karate dalam beberapa tahun sebelum ini dan mengalu-alukan ahli baharu ke dalam persekutuan itu.
-- BERNAMA