Ali Mabkhout, antagonis dari UAE
Astro Arena
September 11, 2019 12:19 MYT
September 11, 2019 12:19 MYT
ITU amaran pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, sebelum aksi kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Malaysia tewas 2-1, semalam.
Sebelum pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, tumpuan peminat di Malaysia terhadap semi-finalis Piala Asia 2019 itu lebih terarah kepada perancang utama, Omar Abdulrahman.
Omar yang menyinar sewaktu membenam skuad negara 10-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 empat tahun lalu disebut bakal memberikan masalah besar buat Harimau Malaya meskipun dia baru pulih daripada kecederaan lutut yang panjang.
Bagaimanapun, jelas sekali tekaan Cheng Hoe mengenai Ali menjadi kenyataan.
Penggempur berusia 28 tahun itu terlebih dahulu mencuri tumpuan di Bukit Jalil, kira-kira selepas setengah jam beraksi susulan pertengkaran melibatkan dia dan tonggak tengah kebangsaan, Brendan Gan, akibat rempuhan 'nakal' yang disengajakan di atas padang sehingga mengakibatkannya dilayangkan kad kuning.
Sejak insiden itu, dia menerima ejekan setiap kali memegang bola, namun penyerang utama kelab Liga Gulf Arab, Al Jazira, itu membalas dengan jaringan penyamaan menerusi tandukan dan meraikannya dengan gaya memberi isyarat menutup mulut di depan penyokong negara, sekali gus memadamkan gol pendahuluan oleh Syafiq Ahmad.
Dia juga menyumbat gol kemenangan selepas bijak menghidu kesilapan Shahrul Saad serta Matthew Davies yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas dan sekali lagi, dia meraikannya di depan penonton di Bukit Jalil.
Dua gol yang dihasilkan itu juga membolehkan pemenang dua kali Liga Pro UAE itu mencatat jaringan peribadi ke-51 di pentas antarabangsa sambil Cheng Hoe dan anak buahnya terpaksa menelan kepahitan tewas buat kali ketiga tahun ini selepas tunduk di tangan Singapura dan Jordan, sebelum ini.
Apa yang pasti, kesudahan aksi di Bukit Jalil itu telah memahatkan satu nama baru dalam ingatan semua peminat Harimau Malaya.
Jika sebelum ini nama Omar menjadi igauan tetapi kini, mungkin Ali watak paling 'dibenci' dari UAE.
Namun, pujian harus diberikan buat Harimau Malaya kerana telah mempamerkan persembahan terbaik tahun ini sehingga sukar mencari perbezaan di antara Malaysia dan UAE biarpun lawan menduduki ranking ke-65 dunia berbanding Malaysia, 159.
#Al Jazira
#Emiriah Arab Bersatu
#harimau Malaya
#Jordan
#Liga Gulf Arab
#Omar Abdulrahman
#Piala Dunia 2018
#Singapura
#Tan Cheng Hoe
#UAE