Algeria cipta sejarah iringi Belgium ke pusingan kalah mati

Aizat Sharif
Jun 26, 2014 07:48 MYT
Algeria menjadi wakil Afrika kedua selepas Nigeria yang layak ke pusingan kalah mati.
Tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia akhirnya ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala Dunia 2014 oleh Algeria apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Arena di Baixada di Curitiba awal pagi tadi.
Keputusan tersebut sekaligus meletakkan Algeria di tempat kedua kumpulan dan melayakkan mereka ke peringkat pusingan kalah mati.
Ia merupakan satu sejarah berharga buat bola sepak Algeria apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok pusingan 16 pasukan terbaik buat kali pertama dalam sejarah 32 tahun penglibatan Algeria dalam Piala Dunia.
Ternyata, Rusia terlebih dahulu mengasak ke gawang Algeria dan asakan mereka membuahkan hasil apabila mendahului hasil jaringan Aleksandr Kokorin pada minit ke enam menewaskan penjaga gol Algeria, Rais Mbolhi.
Algeria yang membuat asakan selepas itu gagal menembusi pertahanan Rusia dan peluang terbaik mereka muncul apabila Islam Slimane dikasari dalam kotak penalti oleh Aleksei Kozlov namun pengadil, Cuneykt Cakir dari Turki tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada Algeria.
Akhirnya, gol penyamaan yang dicari-cari oleh Algeria muncul pada minit ke 60 apabila sepakan percuma yang diambil oleh Yacine Brahimi berjaya ditanduk masuk oleh Slimane untuk kedudukan 1-1.
Kedudukan ternyata memberi kelebihan kepada Algeria dan walaupun Rusia cuba melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang Algeria, namun ketangkasan Mbolhi berjaya mengagalkan usaha Rusia untuk menambah gol.
Dengan keputusan tersebut, Algeria muncul naib juara Kumpulan H dengan mengumpul empat mata di belakang Belgium dan akan bertemu Jerman di peringkat kalah mati nanti.
Rusia pula kekal di tempat ketiga dengan dua mata hasil dua seri dan satu kalah dan pencapaian terburuk ini agak menjejaskan reputasi mereka sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.
Untuk rekod, Algeria pernah mengejutkan Jerman pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 1982 dengan kemenangan 2-1 dan kemenangan tersebut menjadi kejayaan paling manis Algeria dalam sejarah penglibatan dalam Piala Dunia.
Hanya Nigeria dan Algeria muncul dua wakil Afrika yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Nabil Bentaleb (Algeria) dan Eden Hazard (Belgium).
#Algeria #Belgium Rusia #FIFA #Korea Selatan #Kumpulan H #Piala Dunia
;